Berita: KOMITMEN BERTERUSAN DBKK DALAM MENJAGA KEBERSIHAN DAN KELESTARIAN BANDARAYA KOTA KINABALU
18 JANUARI 2026: Sebagai komitmen berterusan dalam memastikan kebersihan dan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal telah melaksanakan usaha pembersihan secara menyeluruh merangkumi kawasan daratan dan perairan pada 17 Januari 2026.
Usaha pembersihan ini merangkumi tiga (3) komponen utama, iaitu Pembersihan Pulau dengan kutipan sebanyak 2.0 tan sisa pepejal; Pembersihan Laut dan Persisiran Bandar Raya dengan kutipan sebanyak 4.93 tan sisa pepejal; serta Pembersihan Sungai dan Kawasan Kampung di Persisiran Sungai yang mencatatkan kutipan sebanyak 9.7 tan sisa pepejal. Secara keseluruhan, sebanyak 16.63 tan sisa pepejal telah berjaya dikutip menerusi pelaksanaan pembersihan perairan bandar raya.
Bagi menyokong kelancaran operasi di kawasan perairan, dua (2) unit skimmer boat serta 16 unit bot, termasuk dua (2) unit bot scavenger sungai, telah digerakkan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan operasi ini turut berdepan kekangan faktor cuaca yang menghadkan pergerakan jentera di beberapa lokasi tertentu.
Bagi pembersihan daratan pula, tumpuan diberikan kepada pematuhan jadual pengutipan sisa pepejal, penyelesaian aduan awam serta pengurusan dan pelupusan sampah haram di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.
Sepanjang tempoh pelaksanaan pada hari Sabtu, DBKK mendapati berlaku peningkatan ketara aktiviti pembuangan sampah haram secara tidak terkawal di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini.
Sehubungan itu, orang awam dan semua pihak diseru agar menguruskan sisa pepejal secara bertanggungjawab, menggunakan kemudahan pelupusan yang disediakan dengan betul serta bersama-sama memelihara kebersihan persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu demi kesejahteraan dan kelestarian bersama.
Sebagai langkah sokongan dalam pengurusan sisa pukal dan sisa kebun secara berhemah, DBKK turut melaksanakan Program iBersih Turun Padang Bersama Komuniti. Sepanjang tempoh pelaksanaan operasi, sebanyak 610 buah rumah telah menerima penerangan secara pintu ke pintu, melibatkan kawasan Taman Kingfisher, Taman Ujana Kingfisher dan Plaza Kingfisher.
Bagi memastikan kebersihan awam berterusan, DBKK turut melaksanakan pembersihan intensif, khususnya di kawasan tumpuan pelancong, termasuk jalan utama, lorong-lorong serta kawasan awam di pusat bandar dan luar bandar agar persekitaran bandar raya sentiasa bersih, selesa dan teratur.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



