Acara: Sesi Town Hall DBKK Tahun 2024, Platform Sinergi Antara DBKK Dan Masyarakat
Seiring usaha pemantapan hubungan dua hala antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan masyarakat, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengadakan Sesi Town Hall DBKK pada 29 November 2024 ini.
Sesi pembentangan dan percambahan idea antara DBKK bersama kumpulan sasaran ini adalah bertujuan untuk membentangkan agenda pembangunan dan perancangan DBKK, di samping bertindak sebagai platform bagi memberi ruang penyuaraan idea, syor pemantapan perkhidmatan dan penambahbaikan tadbir urus Bandaraya Kota Kinabalu. Antara kumpulan sasaran yang bakal menjayakan Sesi Town Hall DBKK ini adalah wakil-wakil kumpulan badan profesional, ahli akademik, komuniti pelancongan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), kumpulan pengamal media dan lain-lain.
Menerusi Sesi Town Hall DBKK ini, dua (2) agenda perdana akan dibentangkan semasa Sesi Town Hall DBKK ini adalah “Hala Tuju DBKK Untuk 5 Tahun Akan Datang” yang akan dibentangkan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan “Penyata Kewangan DBKK” yang akan dibentangkan oleh Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK.
DBKK mensasarkan untuk memperoleh cetusan idea dan inovasi yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu terutama dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan DBKK yang cekap, berkesan dan memenuhi kehendak pelanggan.
Warga Bandaraya Kota Kinabalu adalah dijemput untuk bersama-sama menyaksikan siaran langsung Sesi Town Hall DBKK yang akan diadakan secara penstriman langsung melalui laman rasmi Facebook Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pada 29 November 2024 ini, bermula pukul 9.00 pagi hingga 11.30 pagi.
"DBKK, Pantas Ke Hadapan – Inovatif, Efisien dan Efektif!"
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPeranginanSemulajadi
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



