Berita: PROGRAM PEMBANGUNAN EKO HIKING TRAIL PULAU SEPANGGAR ‘TRAIL OF LIFE’ NATURE, CULTURE & SEA “TEROKAI PULAU SEPANGGAR - DESTINASI PELANCONGAN LESTARI”
23 APRIL 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat telah menganjurkan Program Pembangunan Eko Hiking Trail Pulau Sepanggar ‘TRAIL OF LIFE’: Nature, Culture & Sea “Terokai Pulau Sepanggar-Destinasi Pelancongan Lestari”, pada 10 dan 11 April 2026.
Program ini merupakan kesinambungan daripada tinjauan awal dan penilaian potensi pembangunan Eko Hiking Trail yang telah dilaksanakan pada 04 hingga 06 Februari lalu. Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan laluan ‘eco-hiking’ yang menghubungkan tiga (3) komponen utama pulau, iaitu Mari-Mari Sepanggar Island, Kg.Pulau Sepanggar dan Dreamer’s Island Resort.
Inisiatif ini turut berperanan sebagai tarikan baharu kepada pelancong dengan menggabungkan elemen rekreasi, pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar dalam satu pengalaman yang holistik.
Pada sesi pertama Program Tinjauan Awal Laluan Eko-Hiking Trail yang lalu, seramai 30 pendaki telah berjaya membuka laluan ke Puncak 1 (186m) dari Mari-Mari Dive & Lodge dan Puncak 2 (164m) dari Dreamer’s Island.
Sesi ini turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Jabatan Perhutanan, Jabatan Tanah & Ukur, Taman-Taman Sabah, Sabah Tourism Board, Mari-Mari Dive & Lodge, jabatan-jabatan dalaman DBKK serta komuniti Kampung Pulau Sepanggar.
Pelaksanaan program bagi Fasa 1, Sesi 2 telah melibatkan seramai 40 peserta pendaki dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi. Antara yang terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Perhutanan, Taman-Taman Sabah serta jabatan-jabatan dalaman DBKK iaitu Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerja. Program ini turut disertai oleh komuniti setempat termasuk Kg. Desa Cinta Kobuni dan Kg. Pulau Sepanggar, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan pembangunan laluan eko-hiking ini.
Fokus utama Fasa 1 bagi Sesi 2 ini diteruskan dengan usaha menghubungkan laluan pendakian dari Puncak 1 Mari-Mari Dive & Lodge ke Puncak 2 Dreamer’s Island dengan jarak keseluruhan laluan sejauh 4.5 km.
Inisiatif pembangunan pelancongan di Pulau Sepanggar ini adalah selaras dengan visi dan misi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan pilihan bertaraf antarabangsa. Pelaksanaan projek ini akan melalui tiga fasa pembangunan, iaitu:
Fasa 1 – Sedang dilaksanakan
Fasa 2 – Dijadualkan pada Mei hingga Jun 2026
Fasa 3 – Dijadualkan pada Julai hingga September 2026DBKK akan terus komited dalam memperkasa pelancongan mampan menerusi inisiatif yang mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalakkan penglibatan komuniti serta memperkukuh ekonomi setempat.
Usaha berterusan ini mencerminkan iltizam DBKK dalam memastikan pembangunan pelancongan dilaksanakan secara seimbang antara kemajuan, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



