Skip to main content

Berita: DBKK TERIMA KUNJUNGAN HORMAT KETUA POLIS DAERAH KOTA KINABALU BAHARU

  • 27 OGOS 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima kunjungan hormat daripada ACP Shahrudin bin Mat Husain, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang baharu, bertempat di Pejabat Mayor, pada 20 Ogos 2026.

    Kunjungan tersebut telah disambut oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama barisan pengurusan tertinggi DBKK.

    Pertemuan ini merupakan sesi pengenalan rasmi ACP Shahrudin bin Mat Husain sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang baharu, di samping menjadi platform untuk memperkukuh hubungan strategik serta kerjasama erat antara DBKK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

    Dato' Sri Mayor merakamkan ucapan tahniah kepada ACP Shahrudin bin Mat Husain atas pelantikan beliau dan menyatakan keyakinan bahawa hubungan kerjasama sedia ada antara DBKK dan IPD Kota Kinabalu akan terus diperkukuh demi memastikan Kota Kinabalu kekal selamat, aman, teratur dan kondusif.

    Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai aspek keselamatan, ketenteraman awam dan penguatkuasaan di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu. Perbincangan turut menekankan kepentingan koordinasi berterusan antara DBKK dan PDRM dalam menangani isu-isu bandar secara lebih tersusun, pantas dan berkesan.

    DBKK turut mengalu-alukan kesinambungan kerjasama strategik bersama IPD Kota Kinabalu, termasuk dalam aspek pencegahan jenayah, keselamatan kawasan tumpuan awam, pengurusan trafik, penguatkuasaan bersepadu serta pemantauan keselamatan bandar raya.

    Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen bersama DBKK dan PDRM untuk memperkukuh pendekatan ‘whole-of-government’ dalam pengurusan keselamatan dan ketenteraman bandar raya demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan Kota Kinabalu yang mampan.

    Sumber Info: Pejabat Mayor, DBKK
    Foto: Mohd. Asruddey Rusli

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK