Berita: PROGRAM SAHUR DAN SOLAT SUBUH BERSAMA ASNAF PULAU GAYA ERATKAN SILATURAHIM BERSAMA KOMUNITI SETEMPAT
14 MAC 2026 – Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah menghadiri Program Sahur dan Solat Subuh Bersama Asnaf Kampung Pulau Gaya yang berlangsung di Masjid Al-Aliff, Kampung Pulau Gaya, awal pagi tadi.
Program yang bermula seawal jam 2.45 pagi ini dimulakan dengan kehadiran para jemputan dan rombongan di Jeti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum bergerak ke Kampung Pulau Gaya pada jam 3.00 pagi. Rombongan kemudiannya tiba di Masjid Al-Aliff sekitar jam 3.30 pagi bagi meneruskan pengisian program bersama masyarakat setempat.
Setibanya di lokasi, majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan alu-aluan oleh YB Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya, Ahli Parlimen P173 Putatan. Majlis seterusnya diteruskan dengan jamuan sahur yang menghimpunkan para pemimpin bersama penduduk setempat dalam suasana penuh kemesraan serta semangat ukhuwah.
Program kemudiannya diteruskan dengan solat subuh berjemaah sebelum berlangsungnya Majlis Penyampaian Sumbangan kepada komuniti setempat. Sumbangan yang disampaikan merangkumi cek curah kepada masjid dan surau, wakaf al-Quran, set kit pengurusan jenazah serta bantuan tunai kepada golongan asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Sri Mayor turut berkesempatan menyampaikan sumbangan, sekaligus menzahirkan keprihatinan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terhadap kebajikan komuniti setempat, khususnya golongan yang memerlukan.
Turut hadir dalam program ini ialah Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Haji Isnin bin Haji Aliasnih, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, YB Shah Alfie bin Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Tanjung Keramat, Sahibus Samahah Datuk Dr. Haji Bungsu @ Aziz bin Jaafar, Mufti Negeri Sabah, Datuk Dr. Haji Omar Raisul As-Salam Syah bin Datuk Haji Sulaiman Omar, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Tuan Haji Awang Juri bin Ag Tahir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), serta wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Kehadiran para pemimpin serta agensi-agensi berkaitan dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan dalam memperkukuh usaha kebajikan serta mempererat hubungan silaturahim dengan masyarakat, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Majlis berakhir sekitar jam 6.00 pagi dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kebersamaan antara pemimpin, agensi kerajaan serta masyarakat, sekali gus menyemarakkan nilai perpaduan dan kesejahteraan komuniti.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



