Berita: KURSUS ASAS PENGECAMAN FLORA, PENYEDIAAN HERBARIUM DAN INTERPRETASI PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DI JABATAN BOTANI
19 OGOS 2026: Jabatan Botani, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melaksanakan Kursus Asas Pengecaman Flora, Penyediaan Herbarium dan Interpretasi Pendidikan Alam Sekitar, pada 3 hingga 6 Ogos 2026.
Kursus ini melibatkan penyertaan seramai 30 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Botani, DBKK dan dikendalikan oleh pensyarah jemputan, Dr. Shamsul Khamis, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sepanjang kursus, para peserta diberikan pendedahan secara teori dan praktikal bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab dalam pengurusan sebuah taman botani.
Antara pengisian utama kursus ialah asas pengecaman spesis flora, termasuk pengenalan kepada ciri-ciri penting tumbuhan dan kaedah asas mengenal pasti spesis. Peserta turut mempelajari kaedah pengumpulan data penyediaan spesimen herbarium sebagai bahan rujukan, dokumentasi dan penyelidikan.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada teknik interpretasi pendidikan alam sekitar, khususnya cara menyampaikan maklumat berkaitan flora, biodiversiti dan kepentingan pemuliharaan kepada pengunjung denan lebih menarik, mudah difahami dan berkesan.
Pelaksanaan kursus ini diharap dapat memperkukuh kompetensi pegawai dan kakitangan Jabatan Botani, DBKK dan meningkatkan keupayaan dalam aspek pengenalpastian flora, dokumentasi spesimen, pemuliharaan biodiversiti serta penyampaian pendidikan alam sekitar kepada masyarakat.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Botani, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



