Berita: DBKK TERIMA KUNJUNGAN RASMI KEMENTERIAN PERTANIAN, PERIKANAN DAN INDUSTRI MAKANAN (MAFFI) SABAH
27 OGOS 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima kunjungan rasmi delegasi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah yang diketuai oleh Yang Berhormat Datuk Jamawi Jaafar, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, di Pejabat Mayor, pada 21 Ogos 2026.
Delegasi MAFFI turut disertai oleh YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri 1, MAFFI; YBhg. Datuk Ts. Hj. Jifrin bin Hj. Mohamad, Setiausaha Tetap, MAFFI serta Tuan Burhan Haji Japar, Pengurus Besar Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA).
Ketibaan delegasi telah disambut oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama pegawai-pegawai kanan, DBKK.
Pertemuan tersebut menjadi platform bagi membincangkan perkara melibatkan pembangunan bandar, kemudahan awam serta sektor pertanian dan perikanan di Bandaraya Kota Kinabalu.
Antaranya ialah pelaksanaan Program Kebun Dapur dengan kerjasama DBKK, cadangan dan perancangan berkaitan kawasan tasik dan taman, pengurusan tempat letak kereta di Pasar Besar Kota Kinabalu serta pelesenan penjaja ikan SAFMA.
Selain itu, DBKK turut mengemukakan cadangan pewujudan sebuah jeti pelabuhan tuna yang strategik di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, sebagai salah satu inisiatif bagi menyokong pembangunan sektor perikanan dan memperkukuh agenda Ekonomi Biru (Blue Economy) di Sabah.
Cadangan ini mengambil kira kedudukan strategik Kota Kinabalu serta potensinya sebagai hab bagi aktiviti pendaratan, pengendalian, penyimpanan, pemprosesan dan pemasaran hasil tuna serta produk perikanan bernilai tinggi.
Pewujudan jeti berkenaan dilihat berpotensi memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu sebagai salah satu hab ekonomi maritim dan perikanan serantau, selaras dengan aspirasi pembangunan Ekonomi Biru Negeri Sabah.
Dato’ Sri Mayor menyambut baik kunjungan ini dan menegaskan komitmen DBKK untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama MAFFI dan agensi berkaitan dalam perkara yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan bandar raya.
Kunjungan rasmi ini diharap dapat membuka ruang kepada tindakan susulan dan penyelarasan yang lebih erat antara DBKK, MAFFI dan SAFMA dalam merealisasikan inisiatif yang telah dibincangkan demi kesejahteraan warga Kota Kinabalu.
Sumber Info: Pejabat Mayor, DBKK
Foto: Mohd. Asruddey Rusli#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



