Berita: MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU LAWAT LOKASI TERLIBAT KEBAKARAN DI SEPANGGAR
30 OGOS 2026: YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah melawat lokasi kebakaran di Penempatan Lok Buta, Lok Madas dan Lok Sabang, Sepanggar, hari ini bagi meninjau situasi dan perkembangan terkini kejadian kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Dalam lawatan tersebut, Dato' Sri Mayor bersama YB Datuk Mustapha Sakmud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), telah menerima taklimat berkaitan kejadian serta operasi menyelamat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan operasi kebakaran.
Berdasarkan laporan awal, sebanyak 202 buah rumah atas air telah musnah dalam kebakaran tersebut dan mengakibatkan ramai penduduk terjejas.
Dato' Sri Mayor turut menyampaikan ucapan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terkesan akibat kejadian kebakaran berkenaan. Beliau turut memaklumkan kepada mangsa mengenai pendaftaran mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Serbaguna Damai yang telah diaktifkan bagi menerima mangsa yang terjejas.
Dalam lawatan yang sama, Dato' Sri Mayor turut meninjau keadaan di PPS Dewan Serbaguna Damai bagi melihat kesiapsiagaan serta kemudahan yang disediakan untuk mangsa yang terjejas.
DBKK bersama agensi-agensi berkaitan akan terus menyelaras tindakan dan bantuan yang diperlukan bagi membantu mangsa yang terkesan akibat kejadian ini.
Sumber Info dan Foto:
Jabatan Pengurusan Luar Bandar, DBKK#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



