Skip to main content

Berita: PROGRAM PELANCONGAN LESTARI CITRA KASIH: COMMUNITY TO COMMUNITY (C2C) PROGRAM & ZERO WASTE ISLAND : WASTE TO WEALTH (W2W) PROGRAM TEROKAI PULAU SEPANGGAR - DESTINASI PELANCONGAN LESTARI

  • -

    23 APRIL 2026: Dalam usaha memperkasa pembangunan pelancongan mampan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat telah menganjurkan Program Pelancongan Lestari ‘Citra Kasih’: Community To Community (C2C) Program & ‘Zero Waste Island’ : ‘Waste To Wealth’ (W2W) Program ‘Terokai Pulau Sepanggar - Destinasi Pelancongan Lestari”, pada 12 April 2026.

    Program Citra Kasih DBKK menekankan pendekatan mentor-menti melalui bengkel Community to Community (C2C), memanfaatkan komuniti berjaya seperti Kg. Desa Cinta Kobuni serta Kg. Darau, untuk melatih komuniti Kg. Pulau Sepanggar secara tersusun.

    Inisiatif ini memberi fokus kepada 'upskilling', pemindahan pengetahuan dan pengukuhan kapasiti setempat, sekali gus mempercepat pembangunan sosioekonomi komuniti berasaskan pelancongan secara mampan, inklusif, dan berimpak tinggi. Pendekatan ini membina jaringan kolaborasi dan kepimpinan komuniti yang berdaya saing.

    Program ini bertujuan untuk meningkatkan ekonomi komuniti melalui aktiviti pelancongan, meningkatkan kesedaran dan pengetahuan komuniti mengenai amalan kelestarian alam sekitar, khususnya dalam pengurusan sisa secara sistematik dan berimpak tinggi selain memperkukuh jaringan kerjasama antara komunti dan agensi berkaitan.

    Hadir dalam program ini ialah Puan Darna Badawi, Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK, Puan Shahirah Yaccof, Ketua Kampung Kg. Sepanggar serta wakil-wakil daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), penceramah komuniti dr Kg. Desa Cinta Kobuni, serta jabatan-jabatan dalaman DBKK iaitu Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya.

    Antara pengisian program termasuk sesi taklimat oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bertajuk “Pengenalan INSKEN & Pembangunan Usahawan”, diikuti dengan taklimat daripada jabatan-jabatan dalaman DBKK, iaitu “Pengasingan Sisa di Punca” oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan “Kempen Perangi Lipas, Lalat, Tikus dan Nyamuk (LiLaTiN)” oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya.

    Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat dengan penyertaan seramai 100 orang komuniti Kampung Pulau Sepanggat. Sebagai pengisian utama Program Pelancongan Lestari, program Community to Community (C2C), Citra Kasih : The Making of Paperseed & Wire Craft dibawah bimbingan komuniti Kg. Desa Cinta Kobuni menekankan elemen kreativiti amalan kitar semula.

    Bagi memastikan objektif program tercapai, Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK akan meneruskan penganjuran Program Pelancongan Lestari ‘Citra Kasih’ dengan aktiviti ‘Shellcraft’, pada 09 Mei 2026.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK