Skip to main content

Berita: SESI LAWATAN DAN DISKUSI KAJIAN DAN PEMBANGUNAN BLUEPRINT KEMAMPANAN KERAJAAN TEMPATAN DI MALAYSIA 2026-2040

  • -

    16 JANUARI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berbesar hati menerima ketibaan rombongan Uni-Technologies Sdn. Bhd., yang diketuai oleh Prof. Amran Hamzah, Ketua Perunding merangkap Perunding Perbandaran, bagi sesi lawatan dan diskusi, di Dewan Mesyuarat, Bangunan DBKK, pada 16 Januari 2026.

    Sesi ini telah dipengerusikan oleh Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Kewangan), DBKK. Beliau turut disertai oleh barisan Ketua-ketua Jabatan dan pegawai-pegawai kanan, DBKK.

    Turut hadir dalam rombongan Uni-Technologies Sdn. Bhd. ialah Sr. Dr. Hj. Nor Hafizi Md. Lani, Perunding Sumber Manusia; Puan Rodziah Mohamad, Perunding Undang-undang; Encik Mohd. Anuar A Wahab, Perunding Kewangan dan Pelaburan; Dr. Nadzirah Hosen, Perunding Pembangunan Masyarakat serta pegawai-pegawai penyelidik.

    Ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya, Encik Victor Gerard Kuasi menyatakan bahawa sesi lawatan ini bukan sekadar pertemuan rasmi, tetapi merupakan ruang perbincangan dua hala untuk pertukaran pandangan, perkongsian kepakaran dan penilaian langsung terhadap realiti operasi kerajaan tempatan.

    Tambahnya, penglibatan DBKK dalam kajian blueprint kemampanan ini relevan dan tepat pada masanya, kerana ia membuka ruang untuk menilai keupayaan sedia ada, mengenal pasti jurang penambahbaikan dan menyumbang input berasaskan pengalaman sebenar.

    Pengisian utama lawatan ini tertumpu kepada pembentangan peranan, fungsi dan hala tuju jabatan-jabatan DBKK, ia merangkumi aspek perundangan, pengurusan kewangan, pendigitalan dan teknologi, perancangan bandar pintar, tadbir urus, pembangunan sumber manusia serta pelaburan. Turut dibincangkan isu dan cabaran semasa yang dihadapi dalam memastikan DBKK terus berdaya saing, mampan dan proaktif dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

    Sesi diteruskan dengan pembentangan daripada Uni-Technologies Sdn. Bhd. mengenai Kajian dan Pembangunan Blueprint Kemampanan Kerajaan Tempatan di Malaysia 2026-2040, yang berfungsi sebagai panduan strategik dalam memperkasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke arah pembangunan perbandaran berteraskan tadbir urus cemerlang.

    Sebelum sesi lawatan berakhir, hadirin telah mengambil bahagian dalam sesi interaktif dan soal jawab yang memberi ruang untuk mengupas dengan lebih lanjut berkaitan topik yang telah dibentangkan, bertukar pandangan secara konstruktif selain mengemukakan cadangan pemerkasaan sistem tadbir urus bandar raya yang lebih cekap, berdaya huni dan mampan.

    Semoga sesi perkongsian pandangan dan idea yang terhasil daripada sesi ini menyumbang ke arah pencapaian objektif yang ditetapkan, khususnya dalam mendapatkan input empirikal dan pandangan daripada PBT yang terlibat secara langsung.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK