Berita: MAJLIS PELANCARAN ROADMAP PEMBANGUNAN ENTERPRISE ARCHITECTURE (EA) DAN SUPER APP DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU
12 APRIL 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melancarkan Roadmap Pembangunan Enterprise Architecture (EA) dan Super App DBBK sebagai langkah signifikan ke arah memperkukuh usaha pendigitalan dan transformasi penyampaian perkhidmatan kepada warga bandar raya, dalam satu majlis di Marriott Hotel, hari ini.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK.
Dalam ucapannya, YB Menteri berkata, Roadmap Pembangunan EA ini berfungsi sebagai panduan strategik DBKK dalam menyelaraskan komponen teras organisasi, iaitu sumber manusia, proses, data, sistem dan teknologi. Tambah beliau, ia merupakan asas penting dalam merealisasikan transformasi digital DBKK secara lebih tersusun dan bersepadu.
Majlis kemudian diteruskan dengan tayangan montaj yang memaparkan perjalanan merealisasikan Roadmap Pembangunan EA dan Super App DBKK, daripada peringkat perancangan sehingga pelancarannya.
Hadir dalam majlis ini ialah YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selaku Pengerusi Majlis bersama isteri, YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi; YBhg. Datuk (Ir.) Dr. Khairol Anuar Tawi, Pengerusi SIRIM Berhad; YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
Turut hadir ialah Yang Arif Datuk Indera bin Haji Ayub, Hakim Mahkamah Perindustrian; Yang Setia Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (YS PKPjB) Mohd Pisar bin Aziz, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah; YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK dan YBhg. Dato’ Ir. Mohd Shamsul Nizam, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (Sektor Khidmat Teknikal).
Roadmap Pembangunan EA dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang menggabungkan kepakaran dari segi akademik, teknikal dan pengalaman operasi dalam memastikan pelaksanaan yang holistik dan mampan.
Menerusi pelancaran roadmap ini, DBKK turut menggariskan visi yang jelas bagi pembangunan Super App DBKK, iaitu satu platform, pelbagai saluran dan sifar kerumitan. Aplikasi ini akan memudahkan orang awam mengakses perkhidmatan yang ditawarkan oleh DBKK.
Majlis Pelancaran Roadmap Pembangunan EA dan Super App DBKK menjadi bukti komitmen berterusan DBKK dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih pantas, telus dan mesra rakyat, ke arah masa depan Kota Kinabalu yang lebih pintar, kukuh, dan lestari.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam,
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



