Skip to main content

Berita: PROGRAM LA21 I-FIT PULAU GAYA 2026, PERKASA KOMUNITI LESTARI

  • -

    12 JUN 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penyelidikan dan Inovasi dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menganjurkan Program Local Agenda 21 (LA21) i-Fit Pulau Gaya 2026, bertempat di Kampung Torong-Logong, Pulau Gaya, pada 10 Jun 2026.

    Inisiatif ini yang juga merupakan salah satu program di bawah Smart City Friends (SCF) turut mendapat sokongan dan kehadiran daripada Taman-Taman Sabah, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKKK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, SMK Pulau Gaya, Meraki Daat Sabah Initiative serta komuniti Desa Cinta Kobuni.

    Objektif utama program ini adalah memperkukuh kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari dalam komuniti pulau, di samping memupuk budaya inovasi serta pembelajaran inklusif melalui pelbagai aktiviti interaktif dan penggunaan teknologi. Program ini mengamalkan konsep 5i, iaitu Inclusive, Innovative, Informative, Immunity dan Integrative.

    Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor berkata, program i-Fit Pulau Gaya merupakan inisiatif pembangunan komuniti yang holistik dan bersepadu, selaras dengan pendekatan LA21 yang menekankan pembangunan mampan berasaskan penglibatan masyarakat setempat.

    Tambahnya, program ini bukan sekadar menghimpunkan komuniti melalui aktiviti riadah dan kesukarelawanan, malah menjadi platform memperkukuhkan kesejahteraan sosial, kesihatan, pengetahuan, kerjasama dan inovasi dalam kalangan masyarakat Pulau Gaya.

    Turut hadir ialah YBrs. Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), DBKK selaku pengerusi program; YBrs. Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK dan Dr. Ritchie Jay Cheng, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.22 Tanjung Aru.

    Dato’ Sri Mayor turut mengambil bahagian dalam acara Zumba I-Fit dan aktiviti penanaman pokok kelapa. Beliau kemudiannya melawat pameran Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK dan kaunter pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh PKKKK di Balai Raya Kg. Torong Logong.

    Program ini telah disertai oleh seramai 350 orang yang terdiri daripada pelajar SMK Pulau Gaya dan komuniti Kg. Torong-Logong. Para peserta berpeluang mengikuti pelbagai bengkel, antaranya ialah penghasilan kraftangan daripada bahan kitar semula, pembuatan sabun organik menggunakan minyak masak terpakai serta penghasilan “Eco Brick”.

    Turut diadakan sesi taklimat bertajuk “Langkah Pencegahan Denggi & Kesedaran Bahaya Rokok untuk Pelajar” yang disampaikan oleh PKKKK, taklimat “Penjagaan Alam Sekitar” oleh Taman-Taman Sabah serta ceramah keselamatan dan demonstrasi pemadaman api oleh JBPM, Negeri Sabah. Selain itu, program turut dimeriahkan dengan aktiviti Rentas Desa Hijau (plogging brisk walk) serta program Advokasi Denggi (Door-To-Door).

    Penganjuran program ini diharap akan terus memperkukuh semangat kerjasama di antara agensi dan komuniti setempat dalam memelihara alam sekitar, mengamalkan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pembangunan mampan demi kesejahteraan masyarakat.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK