Berita: SEMANGAT JIWA MERDEKA SEMARAKKAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN HARI SABAH 2026 DI DATARAN BANDARAYA, JALAN TUN FUAD STEPHENS
2 SEPTEMBER 2026: Kibaran Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah serta laungan dan sorakan orang ramai menghidupkan Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens seawal pagi bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2026 yang berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, pada 31 Ogos 2026.
Majlis diserikan dengan keberangkatan tiba Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin, dan diiringi oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.
Tirai majlis dibuka dengan perarakan masuk Kawalan Kehormatan Utama Tentera Darat Malaysia daripada Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Leftenan Amirul Hisyam dengan kekuatan tiga (3) pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.
Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan bendera dan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku diiringi kumpulan pancaragam Polis Diraja Malaysia, disusuli lafaz ikrar Rukun Negara oleh 15 anggota wakil agensi penguatkuasaan negeri Sabah.
Semangat patriotik terus disemarakkan menerusi persembahan Kumpulan Swara Jauhari, Kementerian Kewangan Negeri Sabah, yang membawakan lagu tema Hari Kebangsaan 2026, “Aku Berjanji”, diikuti Sabah Maju Jaya, Malaysia Berjaya dan Jalur Gemilang.
Perhatian orang ramai kemudian tertumpu kepada acara berjalan lalu yang menyaksikan 121 kontinjen mengambil bahagian dalam perbarisan di sepanjang Dataran Bandaraya. Mereka terbahagi kepada 10 kategori, iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Etnik Sabah, Swasta/Badan Berkanun, Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi (Negeri), Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi (Persekutuan), Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi (Negeri) dan Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi (Persekutuan).
Sorakan pengunjung semakin bergema apabila 52 kontinjen aset dan kenderaan daripada pelbagai kelab dan agensi mula berarak masuk. Kemunculan aset-aset ketenteraan dan keselamatan negara antara yang paling ditunggu-tunggu dan mencuri perhatian pengunjung setiap tahun. Suasana sambutan ditambah meriah dengan sorakan penuh semangat daripada 300 belia di Tangga Merdeka yang diselaraskan oleh Majlis Belia Sabah.
Perhatian kemudian beralih ke udara menerusi demonstrasi “Fly High Rescue” oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah. Anggota Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia (STORM) mempamerkan aksi penyelamatan di tempat tinggi menerusi 'spider rappelling' dan 'abseiling', selain demonstrasi Unit Pengesan K9 dan Forensik Kebakaran.
Aksi kemuncak menyaksikan anggota STORM melakukan 'Flying Fox' menggunakan kaedah 'human anchor', dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah dibawa dalam aksi berkenaan sebagai simbol kebanggaan dan semangat cintakan tanah air.
Kemeriahan diteruskan dengan persembahan tarian penuh bersemangat yang diselaraskan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS). Dibuka dengan Gema Inovasi MADANI, persembahan ini menyatukan para penari dalam gerakan yang bertenaga sebagai lambang Malaysia yang bersatu, makmur dan berdaulat. Tarian diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah, yang kemudiannya disusuli gimik 'colourful firework' di udara sebagai penutup tirai Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2026.
Sambutan ini bukan sekadar sebuah acara tahunan, sebaliknya menjadi ruang untuk rakyat bersama-sama menghayati erti kemerdekaan, menghargai sejarah serta memperkukuh perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan Sabah dan Malaysia.
Tahniah dan syabas kepada seluruh rakyat Sabah dan semua kontinjen serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah bersama-sama menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2026.
Demi negara yang tercinta, ku curahkan bakti penuh setia!
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN DAN HARI SABAH 2026!
Liputan: Noorziana Zainih
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK
Facebook Rasmi DBKK



