Berita: PROGRAM PEMBANGUNAN EKO HIKING TRAIL PULAU SEPANGGAR “TRAIL OF LIFE”: NATURE, CULTURE & SEA “TEROKAI PULAU SEPANGGAR - DESTINASI PELANCONGAN LESTARI”
18 SEPTEMBER 2026: Usaha membangunkan Pulau Sepanggar sebagai destinasi eko-pelancongan lestari terus diperkasa menerusi Program Pembangunan Eko Hiking Trail Pulau Sepanggar “Trail of Life”: Nature, Culture & Sea “Terokai Pulau Sepanggar - Destinasi Pelancongan Lestari” yang diadakan pada 15 hingga 16 Ogos 2026.
Program ini bertujuan memperkasa komuniti setempat agar dapat terlibat secara langsung dalam pembangunan dan pengurusan produk pelancongan di Pulau Sepanggar, di samping memperkasa pengalaman pelancong melalui aktiviti yang mengetengahkan elemen alam semula jadi dan kebudayaan.
Dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, program ini merupakan kesinambungan daripada siri ke-3 pembangunan laluan eko-hiking yang telah dilaksanakan. Pelaksanaan kali ini memberi tumpuan kepada kerja-kerja persediaan serta penambahbaikan laluan sebagai persiapan menuju pembukaan rasmi eko-hiking trail Pulau Sepanggar.
Antara jabatan dan agensi yang turut serta dalam program ini ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Tanah dan Ukur serta jabatan-jabatan di bawah DBKK, iaitu Jabatan Botani, Jabatan Penguatkuasaan dan Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.
Dalam pelaksanaan kali ini, tinjauan laluan turut dijalankan bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk penempatan pondok rehat dan bangku yang akan menggunakan bahan berasaskan alam semula jadi serta papan tanda.
Pada masa yang sama, kerja-kerja pembukaan dan pembersihan laluan serta pemasangan tali diteruskan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko bagi meningkatkan aspek keselamatan di sepanjang laluan.
Usaha pembangunan ini akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai persediaan ke arah pembukaannya yang dijangka diadakan pada bulan Oktober 2026.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



