Skip to main content

Berita: MAJLIS PELANCARAN NATIONAL BIM E-SUBMISSION (NBeS) DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU

  • -

    16 OKTOBER 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama erat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia telah melancarkan National BIM e-Submission (NBeS) DBKK dalam satu majlis yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), pada 28 September 2026.

    Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK. Dalam ucapannya, beliau berkata, pendigitalan kelulusan pelan merupakan asas yang penting kerana maklumat pembangunan yang teratur dapat membantu pohak berkuasa memahami perubahan bandar raya dengan lebih baik.

    Tambah beliau, pada masa hadapan, penyelarasan maklumat dan proses digital boleh menyokong perancangan yang lebih berkesan, pengurusan infrastruktur yang lebih baik dan perkhidmatan yang lebih responsif kepada keperluan warga Kota Kinabalu.

    Hadir sama dalam majlis ini ialah YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; YBrs. Sr. Ahmad Farrin Mokhtar, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia; YBrs. Puan Rashinah binti Abdul Hamid, Setiausaha Bahagian Dasar & Antarabangsa, Kementerian Kerja Raya dan YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK.

    Pelaksanaan NBeS bertujuan untuk membantu semakan pelan bangunan menggunakan teknologi Building Information Modelling (BIM), iaitu model bangunan tiga dimensi yang mengandungi maklumat reka bentuk. Melalui NBeS, model tersebut boleh disemak secara automatik berdasarkan set peraturan yang ditetapkan, dan laporan semakan dijana untuk membantu perunding serta pihak berkuasa tempatan meneliti pematuhan pelan.

    Dalam pada itu, Dato’ Sri Mayor dalam ucapannya berkata, pelaksanaan NBeS merupakan langkah awal dalam reformasi proses kelulusan pelan DBKK. Tambahnya, DBKK juga sedang membangunkan sistem permohonan pelan dalam talian, atau e-Submission yang dirancang bermula pada tahun 2027.

    Sebagai tanda komitmen terhadap penggunaan NBeS, majlis turut menyaksikan penyerahan Aku Janji Badan Profesional kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia.

    Sebagai sebahagian daripada pengisian majlis, turut diadakan sesi pembentangan yang merangkumi tiga topik utama iaitu “Perkhidmatan & Fasiliti Pendigitalan di Sabah di bawah CIDB”, “Kelulusan Bangunan melalui Penggunaan Sistem NBeS” dan “Perspektif Principal Submitting Person (PSP) Pelaksanaan NBeS di bawah DBKK”, sebelum diteruskan dengan sesi forum bertajuk “Transformasi Pendigitalan Industri Pembinaan: NBeS & BIM”.

    Pelaksanaan NBeS diharap akan menyokong usaha DBKK ke arah proses kelulusan pelan yang lebih teratur dan cekap.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK