Berita: TAHNIAH! DBKK RAIH TIGA ANUGERAH INOVASI DIGITAL 2026, BUKTI KOMITMEN BERTERUSAN MEMPERKASA PERKHIDMATAN BANDAR RAYA
30 OKTOBER 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus mengukuhkan pencapaian dalam bidang inovasi dan pendigitalan apabila berjaya meraih tiga (3) anugerah dalam Majlis Anugerah Pertandingan Inovasi Digital Laman Web dan Dashboard Agensi Kerajaan Negeri Sabah 2026 yang berlangsung di Shangri-La Tanjung Aru, pada 13 Oktober 2026.
Dalam pertandingan ini, DBKK telah berjaya meraih pengiktirafan berikut:
Juara - Anugerah NEXUS (Networked & External Systems Excellence Award) bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri
Juara - Anugerah DASH (Digital Analytics & Smart Hub Award)
Naib Juara - Anugerah ACE (Award for Cyber & Webmaster Excellence)
Majlis Penganugerahan WADIC 2026 telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Ahemad Sade, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) Pembangunan bagi mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
Pencapaian ini melayakkan DBKK menerima hadiah wang tunai, sijil dan plak penghargaan, selain pakej lawatan ke Pusat ICT, Kuala Lumpur bagi kategori NEXUS dan DASH.
Kejayaan pada tahun 2026 ini meneruskan pencapaian DBKK pada tahun 2025, yang berjaya meraih Johan Anugerah The Outsourced Web Innovator Award bagi kategori PBT dan Badan Berkanun Negeri, tempat ketiga bagi Webmaster of the Year serta tempat keempat bagi Anugerah Laman Web Kerajaan Terbaik (Keseluruhan).
Kejayaan ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi mencerminkan komitmen dan kerjasama seluruh warga DBKK dalam memperkukuh perkhidmatan digital yang berteraskan keperluan rakyat (citizen-centric).
Sumbangan setiap jabatan dan warga kerja, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, menjadi pemangkin kepada penyampaian maklumat dan perkhidmatan yang lebih mudah diakses, tepat dan berkesan.
Penghargaan khusus turut diberikan kepada Puan Sarah Bessie Sipaul, Pegawai Teknologi Maklumat, dan Encik John Akad, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, selaku Webmaster DBKK, serta Puan Suzyee Lantong daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya yang menguruskan dashboard jabatan.
Pertandingan ini mencatatkan sebanyak 64 penyertaan bagi kategori laman web dan 42 penyertaan bagi kategori dashboard.
DBKK akan terus komited memperkasa platform digital sebagai saluran utama penyampaian maklumat dan perkhidmatan yang cekap, mudah diakses, inklusif dan berorientasikan rakyat, selaras dengan aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandaraya yang responsif dan mesra digital.
Platform Bersepadu. Maklumat Mudah Diakses. Rakyat Diutamakan.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Teknologi Maklumat dan Pendigitalan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



