Berita: MAJLIS PELANCARAN ZON TUMPUAN PELANCONGAN PATUH (ZTPP) TAHUN 2026 BERTEMAKAN “MEMPERKASA PASARAN BERINTEGRITI BERSAMA USAHAWAN MUDA DAN KESATUAN PENIAGA MELALUI AMALAN PERNIAGAAN BERETIKA”
30 OKTOBER 2026: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Zon Tumpuan Pelancongan PATUH (ZTPP) Tahun 2026 di Pasar Besar Kota Kinabalu, pada 28 Oktober 2026.
Majlis bertemakan “Memperkasa Pasaran Berintegriti Bersama Usahawan Muda dan Kesatuan Peniaga Melalui Amalan Perniagaan Beretika” ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK mewakili YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Dalam ucapan perasmiannya yang dibacakan, Dato’ Sri Mayor menegaskan bahawa pembangunan bandar raya yang maju bukan sahaja bergantung pada tarikan pelancongan, malah turut dipengaruhi oleh integriti dan tanggungjawab komuniti perniagaan dalam menjalankan urusan jual beli.
Beliau turut menekankan kepentingan mengamalkan perniagaan yang beretika, termasuk mempamerkan tanda harga dengan jelas, menggunakan alat timbang dan sukat yang sah, menawarkan harga yang berpatutan serta memberikan layanan mesra kepada pelanggan.
Hadir sama dalam majlis ini ialah YBrs. Tuan Aris bin Mamat, Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN; YBrs. Tuan Shahril Nizam bin Shahidin, Pengarah KPDN Negeri Sabah serta pegawai-pegawai kanan KPDN dan DBKK. Turut hadir para peniaga, usahawan muda serta wakil kesatuan peniaga.
Para peserta telah diberikan taklimat mengenai Program Zon Tumpuan Pelancongan PATUH (ZTPP) oleh KPDN Wilayah Persekutuan Putrajaya, selain taklimat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Pelaksanaan ZTPP merupakan satu inisiatif penting dalam memastikan kawasan tumpuan pelancongan mempunyai persekitaran perniagaan yang kondusif, telus dan diyakini oleh pengguna, sekali gus menyokong usaha memperkukuh imej Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan yang berkualiti.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, lawatan pemeriksaan PATUH turut dilaksanakan di Mutiara Anjung Kinabalu, selaras dengan matlamat ZTPP untuk menggalakkan amalan perniagaan yang beretika serta meningkatkan kesedaran kepentingan mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa dalam kalangan komuniti perniagaan, khususnya di kawasan tumpuan pelancong.
Pelaksanaan ZTPP diharap dapat memberikan manfaat kepada peniaga dan pengguna, meningkatkan keyakinan pengunjung serta memperkukuh imej Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja menarik, malah turut mempunyai komuniti peniaga yang beretika, mesra dan dipercayai.
Sumber Info: Jabatan Pelesenan, DBKK
Foto: Renaldo Fernandez
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



