Berita: PROGRAM PEMULIHARAAN DAN PENDIDIKAN ALAM SEKITAR SEMPENA ULANG TAHUN KE-60 LIONS CLUB KOTA KINABALU

  • -

    30 OKTOBER 2026: Jabatan Botani, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Lions Club Kota Kinabalu telah menganjurkan Program Pemuliharaan dan Pendidikan Alam Sekitar bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Ke-60 Lions Club Kota Kinabalu, pada 4 Oktober 2026. 

    Program ini turut disertai oleh ahli Lions Club dari beberapa negara termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Jepun dan negara-negara lain. Turut mengambil bahagian ialah pelajar Politeknik Kota Kinabalu yang hadir sebagai peserta jemputan dalam aktiviti penanaman yang diadakan semasa program.

    Tujuan program ini ialah untuk memupuk rasa cinta dan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam semula jadi, khususnya dalam kalangan masyarakat dan generasi muda di Kota Kinabalu. 

    Usaha ini diterapkan melalui aktiviti penanaman beberapa spesies tumbuhan daripada keluarga halia, Species Hutan seperti Dryobalanops dan Syzygyium, sekali gus memberi pendedahan kepada para peserta mengenai kepelbagaian tumbuhan serta kepentingannya dalam pemuliharaan biodiversiti.

    Selepas aktiviti penanaman selesai, para peserta dibawa melawat beberapa lokasi menarik di sekitar Laman Halia. Sesi perkongsian mengenai spesies-spesies tumbuhan halia yang menarik telah dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Biodiversiti. Melalui sesi ini, para peserta berpeluang mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian spesies halia serta ciri-ciri menarik tumbuhan yang terdapat di Laman Halia.

    Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama antara DBKK, Lions Club dan institusi pendidikan, malah turut menyokong usaha pendidikan botani dan pemuliharaan biodiversiti melalui pembelajaran secara langsung di lapangan.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Botani, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK