Berita: Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Terima Kunjungan Rasmi Duta Besar Amerika Syarikat Ke Malaysia
KOTA KINABALU: Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah menerima kunjungan rasmi daripada Duta Besar Amerika Syarikat Ke Malaysia, Mr. Edgard D. Kagan pada 13 Jun 2024.
Kunjungan Duta Besar Amerika Syarikat Ke Malaysia itu turut diiringi oleh pegawai pengurusan tertinggi Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, antaranya Mrs. Mindy Masonis (Counselor For Public Affairs), Mrs. Lauren Mathern (Vice Consul), Mr. Christopher Carver (Political Counselor) dan Mrs. Shanon Phang (Strategic Initiatives Specialist).
Perjumpaan itu telah membincangkan potensi kerjasama dua hala yang berupaya dilaksanakan dan memberi manfaat secara komprehensif kepada komuniti Bandaraya Kota Kinabalu, serta mengukuhkan hubungan persahabatan antara Kota Kinabalu dan bandar raya-bandar raya maju di negara Amerika Syarikat. Dato Sri’ Mayor turut menzahirkan rasa berbesar hati Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam menjalinkan hubungan “Friendship City” dengan bandar raya Portland, Oregon, United States of Amerika sekitar tahun 2014.
Menerusi perjumpaan ini juga, Dato’ Sri Mayor telah menyatakan hasrat untuk mementaskan lebih banyak acara-acara kebudayaan berperingkat antarabangsa di Kota Kinabalu, di samping melihat kepada potensi untuk memperkasakan daya promosi pelancongan Kota Kinabalu di peringkat antarabangsa. Dato’ Sri Mayor turut menyatakan matlamat DBKK untuk menimba lebih pengetahuan dan pengalaman dalam pembangunan teknologi hijau, inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan bioteknologi terutama dalam menangani perubahan iklim.
Turut hadir bersama Mayor menerima kunjungan rasmi ini adalah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; Timbalan-timbalan Ketua Pengarah dan Ketua-ketua Jabatan, DBKK.



