Berita: Delegasi The People’s Government Of Changsha City, Menyokong Usaha DBKK Memulihara Hutan Paya Bakau
14 JUN 2024: Sempena lawatan delegasi The People’s Government Of Changsha City, Hunan Province ke Kota Kinabalu, antara lokasi yang menjadi destinasi mereka adalah Darau Wetland Eco Tourism, yang merupakan salah satu inap desa atau Homestay yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia.
Pusat pelancongan ini yang dikelola di bawah bimbingan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi Program Inisiatif Pembangunan Pelancongan Berasaskan Komuniti (IMPAK), telah dilancarkan pada 11 September lalu, dan merupakan inisiatif komuniti Kampung Darau, Manggatal untuk memulihara keberlangsungan hutan paya bakau di kawasan tersebut. Hutan paya bakau yang terdapat di sepanjang Sungai Darau, dengan jarak berukuran tujuh (7) kilometer daripada Jeti Gunasama Pelancongan Darau Wetland Eco Tourism ke pusat bandar, merupakan satu-satunya kawasan paya bakau yang masih ada dalam pusat bandar.
Semasa lawatan itu, delegasi The People’s Government Of Changsha City yang diketuai oleh Encik Lu Xingying, Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Rakyat Perbandaran Changsha bersama ahli- ahli rombongan yang lain turut mengambil kesempatan untuk terlibat sama dalam aktiviti menanam anak pokok bakau di sepanjang Sungai Darau, sebagai tanda sokongan mereka terhadap usaha DBKK dalam memulihara hutan paya bakau di kawasan itu.
Terdahulu, pada 11 Mei 2024 lalu, DBKK telah merasmikan “Program LA21: Penanaman 2,000 Pokok Bakau Di Sepanjang Sungai Darau” yang merupakan satu Pelan Tindakan Dunia bagi Pembangunan Mampan (Global Action Plan for Sustainable Development) ke arah abad ke-21 di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sebanyak 2,000 pokok bakau berjaya ditanam menerusi program ini.
Selama lawatan tiga (3) hari delegasi di Kota Kinabalu, iaitu bermula 10 Jun sehingga 12 Jun 2024, mereka telah melawat pelbagai lokasi menarik yang terdapat di sekitar bandar raya. Antaranya adalah bangunan DBKK, Sekolah Menengah (SM) All Saints, Kota Kinabalu Wetland Centre, Masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS), Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan Mari-Mari Cultural Village.
Terdahulu, delegasi The People’s Government Of Changsha City turut mengadakan kunjungan hormat kepada YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu pada 12 Jun 2024 lalu. Melalui kunjungan hormat ini, DBKK telah menzahirkan komitmen dan matlamat dalam memperkasakan kerjasama dua hala antara Bandaraya Kota Kinabalu dan Bandar Raya Changsha melalui cadangan jalinan “Friendship City”.



