Skip to main content

Berita: DBKK Terima Kunjungan Hormat Delegasi The People's Government Of Changsha City, Hunan Province, China

  • Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi The People’s Government Of Changsha City, Hunan Province, China yang diadakan di Marriot Hotel Kota Kinabalu, hari ini.

    YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama kumpulan Pengurusan Tinggi DBKK dengan berbesar hati menyambut rombongan itu yang diketuai oleh Encik Lu Xingying, Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Rakyat Perbandaran Changsha dan disertai oleh Pn. Li Xiangyue, Timbalan Pengarah Eksekutif Pejabat Pengurusan Prestasi Perbandaran Changsha; En. Du Xianghui, Timbalan Pengarah, Biro Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Perbandaran Changsha; Pn. Liu Fang, Naib Presiden Persatuan Rakyat Changsha Untuk Persahabatan Dengan Negara Asing dan Pn. Wu Sha, Ketua Bahagian, Pejabat Hal Ehwal Luar Kerajaan Rakyat Perbandaran Changsha.

    Melalui kunjungan hormat ini, DBKK telah menzahirkan komitmen dan matlamat dalam memperkasakan kerjasama dua hala antara Bandaraya Kota Kinabalu dan Bandar Raya Changsha melalui cadangan jalinan “Friendship City” yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Sabah, khasnya dalam inisiatif pembangunan ekonomi, pembangunan bandar raya mampan, pengurusan perubahan iklim, pembangunan industri pelancongan, warisan budaya, perkongsian bidang kepakaran dan tadbir urus. Kedua-dua bandar raya turut berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama strategik yang berpotensi memberikan impak yang tinggi dan memberi manfaat kepada kedua-dua bandar raya.

    Dalam pertemuan ini juga, Encik Lu Xingying selaku Ketua Delegasi turut berkongsi pengenalan dan perkembangan terkini Bandar Raya Changsha yang terkenal dengan warisan seni budaya, pusat pelancongan, perindustrian jentera moden dan banyak lagi.

    Terdahulu, delegasi yang tiba pada 10 Jun 2024 (Isnin) untuk lawatan selama tiga (3) hari ke Kota Kinabalu itu telah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi menarik di sekitar bandar raya. Antaranya adalah lawatan ke Sekolah Menengah (SM) All Saints, Kota Kinabalu dan Darau Wetland Eco Tourism.

    Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut adalah Datuk Susan Chang dan Dr. Tan Su Haw yang merupakan Ahli Majlis Persatuan Rakyat Changsha Untuk Persahabatan Dengan Negara Asing (CPAFFC); serta Datuk Frankie Liew dan Ir. Tan Kok Jie, daripada Sabah China Chamber of Commerce.

    Sebagai rekod, delegasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sebelum ini telah mengadakan kunjungan hormat kepada Encik Gao Wenqi, Timbalan Datuk Bandar, Changsha Municipal People’s Government pada 12 Mei 2023 lalu, sebagai pra-perbincangan kepada cadangan untuk menjalinkan hubungan “Friendship City” bersama Bandaraya Kota Kinabalu.

    Semoga hubungan antara Bandaraya Kota Kinabalu dan Bandar Raya Changsha akan terus diperhebat dan diperkukuh demi manfaat kedua-dua bandar raya.