Berita: Kemeriahan Karnival Komuniti @ KK Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar
Seramai 350 warga bandar raya telah hadir memeriahkan Karnival Komuniti @ KK anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini, di Plaza SEDCO, Taman Awam Teluk Likas.
Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 05 Jun setiap tahun, Karnival Komuniti @ KK ini diadakan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran orang awam mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar, selain mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan
Karnival yang bermula seawal pukul 7.00 pagi itu tadi telah diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Wellness Fun Walk di mana peserta telah berjalan kaki sejauh tiga (3) kilometer sambil membawa mesej menjaga alam sekitar dan berjalan sambil mengutip sampah.
YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah hadir menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Mewarna dan Melukis, Pertandingan Peragaan Fesyen Kanak-kanak, Pertandingan Kitar Semula Isi Rumah dan Pertandingan Reka Cipta.
Turut hadir adalah Yang Berbahagia Datin Sri Hajah Adreen Aderizza Mohamad Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu; Encik Robert B. Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK; Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program; Encik Mohamad Faizal Mohamed, Pengurus Besar KPJ Sabah dan Encik Haizar Razif Hisyam bin Ajaz Nabijan, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).
Tahniah diucapkan kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) DBKK selaku Jawatankuasa Pelaksana Program dan kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan program pada hari ini!
Semoga Kota Kinabalu menjadi sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya huni.



