Berita: DBKK Holdings Lancar Aplikasi Sabah Smart Parking, Mudahkan Pengurusan Tempat Letak Kereta Sekitar Kota Kinabalu

9 OGOS 2024: Pra Pelancaran Aplikasi Sabah Smart Parking telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, hari ini di Hilton Hotel Kota Kinabalu.
Pengenalan aplikasi oleh DBKK Holdings Sdn. Bhd. (DBKKH) yang merupakan anak syarikat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu adalah sebahagian daripada usaha DBKK untuk memodenkan perkhidmatan pengurusan tempat letak kereta di Bandaraya Kota Kinabalu, menggantikan sistem letak kereta berkupon yang telah digunakan selama lebih sepuluh tahun. Langkah ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan Negeri Sabah yang bergerak ke arah pendigitalan dalam semua sektor perkhidmatan awam.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor menegaskan bahawa pelancaran Aplikasi Sabah Smart Parking ini adalah salah satu bukti komitmen DBKK dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di Kota Kinabalu.
Aplikasi ini akan mula berkuat kuasa pada 16 Oktober 2024, di mana pengguna boleh membuat pembayaran kadar caj letak kereta, semakan kompaun, pembelian pas parkir bulanan dan lain-lain perkhidmatan berkaitan melalui aplikasi tersebut.
Pengguna yang masih mempunyai kupon fizikal (gores) masih boleh menggunakannya sehingga kupon tersebut habis digunakan.
Majlis ini turut dihadiri oleh Encik Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif, DBKK Holdings Sdn. Bhd. merangkap Ahli Lembaga Pengarah DBKKH selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana selain YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Adderiza binti Mohamad Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu; Timbalan-timbalan Ketua Pengarah (DBKK) yang juga Ahli Lembaga Pengarah DBKKH, Ketua-ketua Jabatan DBKK, warga DBKKH dan rakan-rakan media.
Dengan pelancaran aplikasi ini, diharapkan penduduk Kota Kinabalu dapat menikmati kemudahan yang lebih efisien dan menjimatkan masa dalam urusan letak kereta mereka.
Untuk maklumat lanjut, hubungi DBKK Holdings Sdn. Bhd. di Bahagian Pengurusan Tempat Letak Kereta melalui talian 088-270181/182.



