Berita: Zahirkan Semangat Patriotisma, Perpaduan Menerusi Kibaran Jalur Gemilang, Bendera Negeri Sabah Sepanjang Bulan Kebangsaan Hari Sabah

1 OGOS 2024: Sambutan Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera secara rasminya telah membuka tirai dalam satu majlis pelancaran yang disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, di pekarangan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini.
Majlis pelancaran ini turut melakar sejarah apabila secara julung-julung kalinya sambutan Hari Kebangsaan diraikan serentak dengan Hari Sabah. Bertemakan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”, orang ramai diseru untuk menzahirkan semangat kemerdekaan sekali gus memeriahkan lagi sambutan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah, di rumah mahupun premis perniagaan masing-masing.
Turut hadir adalah YB Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M. Yahya, JP, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN); YB Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin Manjun, Menteri Kewangan Negeri Sabah selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Tahun 2024; YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah; YBhg. Datuk Makhzan bin Mahyuddin, Setiausaha Persekutuan Sabah dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Tahun 2024.
Ketibaan barisan tetamu kehormat ke majlis ini telah disambut oleh seramai 50 pelajar sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, yang turut disertai oleh lima (5) guru pengiring.
Antara pengisian majlis adalah pengagihan bendera kepada wakil agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang hadir, antaranya Markas Pemerintahan Armada Timur, Persuruhjaya Polis Kontinjen Sabah, Markas Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, wakil-wakil kementerian, persatuan dan lain-lain.
Dalam majlis itu, YAB Ketua Menteri turut berkesempatan untuk melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah. Kembara Merdeka Jalur Gemilang ini disertai oleh 18 buah kenderaan dan 60 peserta yang akan menjelajah ke seluruh pelusuk negeri Sabah bagi mengedarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah kepada orang ramai.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh Jawatankuasa Penganjur Sambutan Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera yang bertungkus-lumus dalam memastikan kelancaran majlis pada tahun ini.
Ayuh sama-sama menyemarakkan nilai cinta akan Negara sempena Bulan Kebangsaan Hari Sabah dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah, menjelang kemuncak sambutan pada 31 Ogos depan!



