Skip to main content

Berita: Pengusaha 'Fun Fair' Degil Diarah Henti Operasi Serta-Merta

  • Pekan Inanam

    04 JULAI 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi Jabatan Pelesenan (JPL) telah mengarahkan penghentian operasi sebuah pesta ria atau ‘fun fair’ yang dijalankan tanpa permit dalam satu pemeriksaan yang dilakukan di Pekan Inanam, pada 01 Julai 2024 (Isnin) lalu.

    Pemeriksaan yang melibatkan seramai enam (6) anggota JPL itu mendapati bahawa pengusaha ‘fun fair’ berkenaan gagal mempamerkan permit pengoperasian yang sah. Satu (1) kompaun di bawah Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958 bernilai RM3,000 telah dikeluarkan kerana menjalankan aktiviti hiburan awam tanpa lesen.

    Terdahulu, DBKK telah mengeluarkan notis kepada pengusaha untuk mengalihkan struktur dan semua logistik sebelum 29 Jun 2024. Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan susulan telah mendapati tiada tindakan diambil oleh pengusaha dan ‘fun fair’ masih beroperasi seperti biasa.

    Semua pengusaha premis perniagaan dan hiburan di sekitar bandar raya adalah diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan dan menjalankan operasi perniagaan mengikut prosedur yang betul.

    10 Kompaun, 3 Notis Amaran Dikeluarkan Kepada Penjaja Berniaga Tanpa Lesen

    04 JULAI 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pelesenan hari ini telah menjalankan operasi pemantauan ke atas penjaja yang berniaga tanpa lesen di kawasan luar pusat bandar iaitu sekitar Indah Permai, Taman Kingfisher, Jalan Angkasa Apartment Tuaran Bypass, Jalan Tun Fuad Stephens dan Anjung Perdana.

    10 kompaun dan tiga (3) Notis Amaran telah dikeluarkan kepada penjaja ikan, penjaja bermotorsikal, penjaja van bergerak dan lori kenderaan bersaji Luk-Luk yang melakukan kesalahan di bawah Kota Kinabalu Municipal Council (Hawkers) By-laws, 1966.

    Para penjaja di sekitar bandar raya diingatkan untuk sentiasa patuh kepada undang-undang sedia ada dan memastikan segala urus niaga dilakukan secara sah, di lokasi yang dibenarkan.