Berita: Lawatan Sambil Belajar UMS Dan Hannam University, South Korea Ke DBKK

27 JULAI 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berbesar hati menerima rombongan daripada Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hannam University, South Korea, yang tiba sempena program lawatan sambil belajar di DBKK, pada 26 Julai 2024.Hadir menyambut ketibaan mereka adalah Puan Faradillah binti Hj. Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) DBKK bersama Ketua-ketua Jabatan DBKK.
Rombongan yang terdiri daripada 42 orang itu telah diketuai oleh Profesor Madya Mat Salleh bin Hj. Ayub, Pengarah Unit Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (UPPK), UMS bersama Profesor Lee Jaem Yeong, Manager of Leaders in Industry-University Cooperation 3.0 (LINC 3.0) mewakili Hannam University, South Korea.
Lawatan ini adalah sebagai wadah perkongsian ilmu mengenai inisiatif DBKK dalam pembangunan pelancongan Bandaraya Kota Kinabalu. Antara pengisian lawatan ini adalah pembentangan bertajuk “Inisiatif Pembangunan Pelancongan di Bandaraya Kota Kinabalu” yang telah disampaikan oleh Puan Hanifah binti Abd. Rasid dari Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat (JPKM) DBKK.
DBKK turut mengambil maklum pengenalan dan fakta menarik berhubung bandar raya Daejeon, South Korea dan tayangan video A Proud World-Class City “I Am Daejeon”, The Four Seasons of Daejeon dan Youth Activity Bunker.
Terima kasih diucapkan atas kesudian berkunjung ke Kota Kinabalu, Bandaraya Peranginan Semulajadi.
Semoga lawatan ini akan mengeratkan lagi ikatan persahabatan di antara DBKK, UMS dan Hannam University.



