Berita: Ke Arah Destinasi Pilihan Pelancong, DBKK Tinjau Sistem Pengurusan Sampah Di Pulau Sekitar Kota Kinabalu
21 JULAI 2024: “Pasir pantai yang putih dan air laut yang jernih seakan kristal kebiruan”. Itulah ungkapan para pelancong yang menggambarkan kelebihan pulau-pulau menarik di Sabah. Jaminan keunikan dan keindahan pulau yang menjadi idaman para pelancong dalam dan luar negeri ini, wajar diungguli dengan kualiti kebersihan persekitaran yang baik dan sistem pengurusan sampah yang efisien.
Hari ini, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, bersama kumpulan Pengurusan Tinggi DBKK telah mengambil ikhtiar mengadakan tinjauan tahap kebersihan dan sistem pelupusan sisa pepejal yang dilaksanakan di Pulau Sapi, Pulau Mamutik dan Pulau Manukan; iaitu antara tiga (3) pulau pelancongan yang terkenal di bawah Taman Tunku Abdul Rahman dan terletak strategik di pusat bandar raya.
Pulau Sapi yang menjadi destinasi pertama tinjauan DBKK itu tadi telah bermula seawal 8.15 pagi dengan penyampaian taklimat oleh Pengurus Taman Tunku Abdul Rahman, Encik Kenneth Condrad Sion.
Selain mendekati kaedah pelupusan sisa pepejal yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan pulau, DBKK turut mengambil maklum dengan lebih dekat lagi akan maklumat pengezonan aktiviti rekreasi yang tersedia, perkhidmatan dan pengoperasian pulau, inisiatif program-program pembersihan sampah di pantai dan dasar laut serta infrastruktur mesra pelancongan yang disediakan.
Seusai di Pulau Sapi, tinjauan diteruskan ke Pulau Mamutik sambil menerima penyampaian taklimat daripada wakil Borneo Divers, dan akhir sekali ke Pulau Manukan. Sebelum menutup tirai program sekitar 12.30 tengah hari, DBKK turut memandu lalu kawasan Pulau Gaya bagi meninjau keadaan semasa tempat pelupusan sisa pepejal yang disediakan.
Kunjungan ini juga telah mencetus beberapa idea dan perancangan pembangunan pelancongan Bandaraya Kota Kinabalu, di samping melihat kepada potensi sinergi bersama rakan-rakan strategik dalam program pemantapan pembersihan di masa akan datang.
Terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman dan Taman-taman Sabah atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan lawatan DBKK pada hari ini.



