Berita: Ketidakpatuhan Penjaja, 5 Notis Pembatalan Lesen Dikeluarkan
26 OGOS 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelesenan baru-baru ini telah mengadakan pemeriksaan ke atas Pasar Inanam bagi meninjau tahap keteraturan aktiviti perniagaan dan pematuhan peraturan pelesenan yang ditetapkan.
Operasi yang bermula sekitar 8.00 pagi itu telah mendapati beberapa elemen yang tidak dipatuhi antaranya penjaja berniaga di luar petak atau garisan lot yang diperuntukkan, membina struktur tanpa kelulusan, mengabaikan barangan niaga di atas lantai dan tidak menjaga kebersihan lot gerai masing-masing. Ketidakpatuhan ini boleh menjejaskan tahap keselamatan dan keselesaan pengunjung serta menimbulkan risiko kepada orang awam.
Lima (5) notis pembatalan lesen telah dikeluarkan kepada penjaja yang telah melanggar peraturan dan diberikan tempoh 30 hari bagi pengemukaan maklum balas. Teguran lisan turut disampaikan bagi memastikan tidak berlaku kesalahan yang berulang.
DBKK mengucapkan terima kasih kepada semua penjaja Pasar Inanam yang telah memberi kerjasama baik sepanjang operasi berlangsung.



