Skip to main content

Berita: Pemantapan Kualiti Kebersihan Bandar Raya, DBKK Perkukuh Aset Dan Logistik Kebersihan

  • Depoh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal

    20 OGOS 2024: Komited dalam meningkatkan kualiti kebersihan bandar raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengambil inisiatif untuk memperkukuh kekuatan aset dan logistik pembersihan dengan penambahan lori kompaktor sampah yang baharu.

    10 unit lori kompaktor telah diperoleh hari ini menerusi satu majlis penyerahan yang diadakan di Depoh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal. Majlis telah menyaksikan penyerahan replika kunci lori kompaktor daripada YBhg. Datuk Chok Yun Kiong, Pengarah Urusan Universal Motor Sdn. Bhd. kepada YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

    Dato’ Sri Mayor dalam ucapannya berkata, penambahan lori kompaktor ini adalah signifikan dalam usaha untuk terus memperkasakan tahap penyampaian perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Bandaraya Kota Kinabalu. Beliau yakin bahawa dengan pertambahan ini akan mampu menambah baik kerja-kerja pengutipan sampah dan secara tidak langsung menyuntik semangat kerja kepada pasukan pembersihan DBKK.

    Operasi lori kompaktor baharu ini akan menyokong kepada kekuatan logistik DBKK sedia ada yang merangkumi kawasan operasi di Zon 1 sehingga Zon 8 iaitu Zon Kota Kinabalu, Kepayan, Likas – Damai, Kolombong – Bukit Padang, Inanam, Menggatal, Telipok – Sepanggar dan akhir sekali kawasan bukit.

    DBKK akan terus berusaha untuk memastikan perkhidmatan pengutipan sampah di bandar raya dilaksanakan dengan lancar dan tidak terjejas akibat kekangan jumlah lori sampah yang berfungsi.

    Turut hadir dalam majlis penyerahan kunci lori kompaktor baharu ini ialah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK; Encik Robert B. Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK; Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Kewangan) DBKK serta Ketua-ketua Jabatan DBKK.