Skip to main content

Berita: Program Bersama Komuniti Kampung Ruminding, DBKK Teroka Potensi Pembangunan Luar Bandar

  • Kampung Ruminding

    20 OGOS 2024: YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini telah mengetuai lawatan kerja ke Kampung Ruminding, iaitu sebuah perkampungan berkeluasan 15 hektar di kawasan Inanam, Kota Kinabalu.

    Mula diduduki sekitar tahun 1964, Kampung Ruminding menjadi laman huni sejumlah 42 buah rumah dengan anggaran jumlah penduduk sekitar 200 orang, yang majoritinya adalah dari suku kaum Dusun. Kedudukannya yang indah di tepi sungai memegang potensi pembangunan pelancongan yang tinggi, di samping membangun fasiliti untuk kemudahan penduduk.

    Dinamakan sempena susunan batu yang berbentuk dinding di tepi sungai, perjalanan ke Kampung Ruminding adalah sejauh 64 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu dan mengambil masa selama dua (2) jam. Ketibaan Dato’ Sri Mayor bersama rombongan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah disambut mesra oleh Encik Singkun Ginsuab selaku Ketua Kampung Ruminding bersama penduduk kampung yang hadir dalam pertemuan bermakna ini.

    Dato’ Sri Mayor dalam ucapannya berkata, lawatan kerja ini bertujuan untuk mendekati dan mempererat hubungan bersama komuniti Kampung Ruminding di samping mengumpul maklumat profail kampung dalam usaha mengolah pendekatan menoktahkan kumpulan miskin tegar dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu dan seterusnya meneroka potensi pelancongan ke arah pembangunan ekonomi komuniti luar bandar.

    DBKK turut memanfaatkan pertemuan ini dengan menyampaikan sumbangan ikhlas berupa 50 bantuan bakul makanan dengan kerjasama DBKK Holdings Sdn. Bhd., seraya mengedar borang permohonan pendaftaran eKasih bagi memudahkan penduduk membuat pendaftaran tanpa perlu ke pusat bandar.

    Dato’ Sri Mayor turut mengabadikan momen manis bersama penduduk kampung sambil santai menjamu buah-buahan hasil tanaman mereka seperti buah durian, rambutan dan langsat; yang ternyata bakal menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung. Menyerikan lagi pengisian aktiviti dalam lawatan kerja ini adalah kunjungan Dato’ Sri Mayor ke Sekolah Kebangsaan Ruminding, Inanam

    Turut hadir ialah YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Adderiza binti Mohd. Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu; Encik Karim bin Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) dan Ketua-ketua Jabatan DBKK yang terdiri daripada Encik Felix I. Malangkig, Dr. Benedick Oliver Lidadun dan Encik Mohd. Hanif bin Abdullah.