Skip to main content

Berita: DBKK Lancar Aplikasi IBERSIH, Kini Warga Bandaraya Kota Kinabalu Boleh Membuat Pesanan Perkhidmatan Pengutipan Sisa Pukal Dan Sisa Kebun Secara Dalam Talian

  • Imago Shopping Mall

    19 OGOS 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) telah melancarkan aplikasi iBERSIH, selaras usaha mentransformasikan perkhidmatan pengutipan sisa pukal dan sisa kebun kepada perkhidmatan secara dalam talian.

    Pelancaran aplikasi ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Abidin Madingkir, JP, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK pada Majlis Penutupan Kempen “My City, My Responsibility” (MCMR) 2.0 Sempena Bulan Kebangsaan, pada 17 Ogos lalu.

    Turut hadir YB Datuk Yong Teck Lee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik merangkap Penasihat Persidangan Ekonomi Cina Sabah; YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu; Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK; serta barisan Ahli Lembaga Penasihat DBKK dan Pengurusan Tinggi DBKK.

    YB Datuk Abidin dalam ucapannya berkata, menerusi inisiatif ini, penduduk taman boleh membuat pesanan perkhidmatan DBKK secara atas talian tanpa perlu mengunjungi premis DBKK. Pesanan yang dibuat secara atas talian juga tidak memerlukan sebarang pelekat prabayar.

    Tambahnya, nilai pembelian minimum perkhidmatan sisa pukal dan sisa kebun prabayar bagi pembelian secara atas talian adalah sebanyak RM10. Perkhidmatan pengutipan yang ditempah secara atas talian atau menggunakan kupon pelekat prabayar akan dilaksanakan dalam tempoh tujuh (7) hari.

    Warga Bandaraya Kota Kinabalu kini boleh mula memuat turun aplikasi iBERSIH secara percuma menerusi Google Play (Android) atau App Store (iOS) bermula 17 Ogos 2024.

    Dalam pada itu, DBKK telah menerima sumbangan sebanyak 500,500 helai beg guna semula daripada Persidangan Ekonomi Cina Sabah, Green Buddy, Bataras Hypermarket, Servay Hypermarket, CKS Supermarket, 99 Speedmart dan Yu Sang Supermarket. Kesemua beg yang disumbangkan ini akan diagihkan kepada institusi-institusi pendidikan, pejabat-pejabat kerajaan dan kepada orang awam sebagai penghargaan atas sokongan padu terhadap Kempen ‘Hari-Hari Bawa Beg Bah’ yang dilancarkan pada 01 Ogos lalu.

    Semoga penganjuran Kempen Kesedaran MCMR 2.0 dapat meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam penjagaan kebersihan persekitaran, seiring usaha menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu bersih, berdaya huni dan bebas sampah!