Berita: 250 PENGGEMAR SUKAN BERBASIKAL MERIAHKAN 25TH SILVER JUBILEE CITY RIDE, RENTASI LOKASI MENARIK SEKITAR BANDAR RAYA
24 FEBRUARI 2025: Semangat dan keterujaan seramai 250 penggemar sukan berbasikal telah memeriahkan ‘25th Silver Jubilee City Ride’ yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu, di Padang Merdeka, pada 22 Februari 2025.
Lebih menarik lagi, acara anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Kelab Borneo Angels, PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu (CBKK) ini turut mendapat tumpuan di peringkat antarabangsa, dengan penyertaan peserta dari Brunei Darussalam, Filipina dan Kanada.
Acara pelepasan telah disempurnakan oleh Puan Hana’aifah Suhaili, Timbalan Pengerusi PUSPANITA CBKK yang hadir mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Para peserta telah berbasikal sejauh 25KM iaitu seiring dengan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak, merentasi lokasi-lokasi menarik di sekitar bandar raya.
Bermula dari Padang Merdeka Kota Kinabalu, para peserta bertolak menuju ke bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Hospital Queen Elizabeth 1, Lido, Lintas Plaza, City Mall, Balai Bomba dan Penyelamat Kolombong, Likas Plaza, bulatan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Menara Kinabalu, papan tanda Sabah Maju Jaya (SMJ) sebelum kembali ke Padang Merdeka Kota Kinabalu.
Kayuhan santai ini menyaksikan penyertaan daripada komuniti, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), badan korporat serta peminat sukan berbasikal, dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan masyarakat selain mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif.
Sepanjang acara berlangsung, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan Jesselton Buskers, selain berpeluang menyertai pertandingan Track Stand.
Sebelum tirai majlis dilabuhkan, Puan Hana'aifah telah menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang cabutan bertuah.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan ahli-ahli jawatankuasa penganjur. Semoga penganjuran acara berbasikal seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang, seiring usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#SambutanUTB25JubliPerak
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



