Skip to main content

Berita: DBKK, SPRM JALIN KERJASAMA, KE ARAH PERKHIDMATAN PERBANDARAN CEKAP, TELUS DAN BEBAS RASUAH

  • 12 MAC 2025: Seiring usaha untuk memastikan perkhidmatan perbandaran yang cekap, telus dan bebas rasuah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menandatangani Nota Kerjasama dalam satu majlis di Sabah International Convention Centre (SICC), pada 11 Mac 2025.

    Upacara Menandatangani Nota Kerjasama telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama YBhg. Datuk Karunanithy A/L Y. Subbiah, Pengarah SPRM Sabah, sambil disaksikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Azam bin Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM.

    Turut hadir menyatakan sokongan penuh kepada acara ini adalah YB Datuk Abidin Madingkir, JP, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK.

    Dalam ucapannya, YB Datuk Abidin berkata, nota kerjasama ini menjadi asas kepada satu bentuk reformasi pentadbiran yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga DBKK, tetapi juga kepada keseluruhan ekosistem perkhidmatan awam di negeri Sabah.

    Tambah beliau, jalinan kerjasama ini turut menjadi satu model rujukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di Sabah untuk mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan mereka berdasarkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

    Majlis diteruskan dengan tayangan video montaj yang menampilkan usaha sama yang terjalin di antara DBKK dan SPRM. Sebelum majlis berakhir, sesi sidang media telah diadakan dengan melibatkan pengamal media daripada pelbagai agensi.

    Hadir sama dalam majlis ini ialah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; Ahli-ahli Lembaga Penasihat DBKK serta barisan Pengurusan Tertinggi DBKK.

    Jalinan sinergi di antara DBKK dan SPRM ini diharap dapat membantu dalam usaha membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan melalui pendekatan holistik, yang meliputi aspek-aspek seperti pengoperasian, pencegahan rasuah serta pendidikan rasuah.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK