Skip to main content

Berita: MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU SANTUNI PENJAJA, PENGUNJUNG DI BAZAR RAMADAN LINTASAN DEASOKA

  • 15 MAC 2025: Aneka juadah berbuka puasa di sejumlah 170 lot gerai yang dibuka di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka menjadi daya tarikan utama yang menyumbang kepada kemeriahan suasana petang di sekitar bazar.

    Menu menarik seperti Nasi Briyani, soto, murtabak, nasi campur, masakan 𝘞𝘦𝘴𝘡𝘦𝘳𝘯, kuih-muih tradisional dan air balang menjadi juadah lazim dan sering menjadi pilihan untuk berbuka puasa.

    YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu meluangkan masa untuk mengadakan sesi 𝘸𝘒𝘭𝘬𝘒𝘣𝘰𝘢𝘡 di sekitar bazar, sambil menyantuni para peniaga dan pembeli yang datang membeli juadah berbuka puasa, pada 13 Mac 2025.

    Di samping meninjau kemeriahan bazar berkenaan, Dato’ Sri Mayor juga telah menyerahkan beg guna semula yang mengandungi risalah-risalah kesihatan seperti Kempen Perangi Lipas, Lalat, Tikus dan Nyamuk (LiLaTiN), Panduan Kepada Pengendali Makanan dan Majikan dan Panduan Pengguna iBERSIH, kepada para penjaja.

    Hadir sama dalam 𝘸𝘒𝘭𝘬𝘒𝘣𝘰𝘢𝘡 ini ialah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK); Encik Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn. Bhd. serta barisan Pengurusan Tertinggi DBKK.

    Bazar Ramadan Lintasan Deasoka merupakan tapak bazar terbesar yang terletak di bawah seliaan DBKK, yang menempatkan seramai 170 penjaja, diikuti dengan Bazar Ramadan Indah Permai (130 penjaja), Bazar Ramadan Sembulan (92 penjaja) dan Bazar Ramadan Tg. Aru (10 penjaja).

    DBKK akan terus membuat pemantauan berkala bagi memastikan kadar pematuhan penjaja terhadap peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sentiasa pada tahap tertinggi. Dalam masa yang sama, para penjaja Bazar Ramadan di sekitar bandar raya turut diingatkan agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan, khususnya di sekitar lot gerai masing-masing.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK