Skip to main content

Berita: DBKK JALIN KERJASAMA BERSAMA MARINE RESEARCH FOUNDATION, LEGENDA BUMIMAS SDN. BHD. & MY PROTECH SDN. BHD. (ARUS OIL), TANGANI CABARAN SEMASA SECARA STRATEGIK DAN BERIMPAK TINGGI

  • 10 APRIL 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Marine Research Foundation, Legenda Bumimas Sdn. Bhd. dan My Protech Sdn. Bhd. (Arus Oil), dalam satu majlis yang diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC), pada 09 April 2025.

    Jalinan kerjasama bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) ini menjadi simbolik kepada usaha DBKK dalam menangani cabaran semasa secara strategik dan berimpak tinggi, khususnya isu yang memberi kesan kepada alam sekitar, kesihatan awam, sektor pelancongan, perikanan serta imej bandar raya.

    Sesi menandatangani MoU ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK bersama Datuk Tan Pek Chian, Managing Director Legenda Bumimas Sdn. Bhd.; Dr. Nicolas J. Pilcher, Executive Director, Marine Research Foundation dan Encik Mohd. Syazwan bin Abd. Majid, Chief Executive Officer, My Protech Sdn. Bhd. (Arus Oil).

    Peristiwa penuh makna ini telah disaksikan oleh YB Datuk Abidin Madingkir, JP, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada DBKK. Dalam ucapannya, beliau berkata, impak daripada kerjasama ini bukan sahaja dapat dilihat menerusi skop pengurusan alam sekitar, tetapi juga dalam penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kesedaran masyarakat dan sokongan terhadap pembangunan ekonomi hijau yang berterusan.

    Tambah beliau, setiap MoU yang dimeterai ini, dalam konteks yang lebih besar, adalah sebahagian daripada transformasi yang lebih menyeluruh yang sedang berlaku di Sabah dalam mencapai kemajuan yang berdaya tahan dan seimbang antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.

    Hadir sama menyatakan sokongan penuh terhadap majlis ini ialah Ahli-ahli Lembaga Penasihat DBKK, barisan Pengurusan Tertinggi DBKK serta Ketua-ketua Jabatan, DBKK.

    Jalinan kerjasama DBKK bersama Marine Research Foundation akan memfokuskan usaha membangunkan kerjasama dalam pengurusan sisa marin, pelaksanaan operasi pembersihan laut serta mempromosikan kitar semula dan 'upcycling' secara bertanggungjawab terhadap sisa yang dikumpulkan. Sementara itu, jalinan kerjasama DBKK bersama Legenda Bumimas Sdn. Bhd. akan tertumpu terhadap usaha memastikan pengurusan Sisa Elektrik dan Elektronik (E-waste) yang sistematik demi masa depan yang lestari. Manakala, kerjasama DBKK bersama My Protech Sdn. Bhd. (Arus Oil) akan tertumpu terhadap usaha menggalakkan penglibatan komuniti dan pengguna dalam mengitar semula minyak masak terpakai berasaskan kepada prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama.

    Majlis kemudian diteruskan dengan tayangan montaj yang menampilkan skop kerjasama yang terjalin di antara DBKK, Marine Research Foundation, Legenda Bumimas Sdn. Bhd. dan My Protech Sdn. Bhd. (Arus Oil).

    Semoga jalinan kerjasama ini menjadi pemangkin kepada masa depan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang bersih, lestari dan berdaya tahan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK