Berita: LAWATAN YB NIK NAZMI NIK AHMAD, MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM KE PROJEK RINTIS IMPAK SOSIAL PETRONAS "MENYEMAI MASA HADAPAN"
23 MAC 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan sukacitanya menyambut kehadiran Yang Berhormat Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam ke Projek Rintis Impak Sosial PETRONAS bertemakan Menyemai Masa Hadapan.
Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara PETRONAS, Yayasan Hijau Malaysia (YHAN), dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tempatan mengenai penjagaan alam sekitar dan amalan kitar semula.
Dalam sesi lawatan ini, YB Menteri turut meninjau usaha yang dilaksanakan termasuk penempatan mesin pemprosesan sisa plastik yang dibekalkan melalui bantuan daripada PETRONAS. Mesin ini akan memudahkan komuniti setempat mengumpul dan memproses sisa plastik mereka, sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar.
DBKK turut komited dalam mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk melaksanakan projek seumpama ini bagi memperluaskan kesedaran mengenai kebersihan dan kitar semula dalam kalangan masyarakat Kota Kinabalu.
Selain itu, DBKK turut berperanan dalam menyediakan ruang yang sesuai bagi masyarakat setempat untuk menjual hasil-hasil produk kitar semula yang diusahakan melalui projek ini.
Pihak DBKK menghargai kerjasama erat antara PETRONAS, Yayasan Hijau Malaysia, serta pihak-pihak berkepentingan yang terlibat dalam memastikan kejayaan projek ini. Inisiatif ini diharapkan dapat memberikan impak positif kepada komuniti setempat, selain menyokong usaha DBKK dalam mewujudkan persekitaran yang bersih, indah, dan lestari.
Laporan: Bella Berhaman
Sumber Foto: Mohd. Asruddey Rusli



