Berita: MAJLIS BERBUKA PUASA MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU, RAIKAN RAMADAN BERSAMA RAKAN MEDIA
28 MAC 2025: Keindahan bulan Ramadan terus diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang dihadiri sekitar 70 pengamal media daripada pelbagai agensi, bertempat di Hilton Hotel, pada 26 Mac 2025.
Majlis ditambah seri dengan kehadiran YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor berkata, media telah menjadi sayap kanan yang sangat penting kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selama 25 tahun.
Sepanjang tempoh ini, beliau berkata, media memainkan peranan signifikan dalam memastikan segala maklumat berkaitan usaha pembangunan bandar raya, isu-isu semasa, dan keperluan masyarakat disampaikan dengan tepat dan telus. Tambahnya, dedikasi yang tidak mengenal erti lelah ini telah membantu DBKK menjadi lebih peka terhadap kehendak warga bandar raya serta lebih berkesan dalam merangka dasar dan melaksanakan program yang bermanfaat.
Mengenang jasa dan bakti veteran pengamal media yang sentiasa bersama dalam membuat hebahan dan liputan perkembangan DBKK, Dato' Sri Mayor telah menyerahkan sumbangan bantuan wang tunai dan kuih raya kepada 20 orang veteran pengamal media yang telah disenaraikan oleh persatuan Sabah Journalist Association (SJA) dan Kota Kinabalu Journalist Association (KKJA).
Beliau berkesempatan untuk berinteraksi bersama YBhg. Datuk Muguntan Vanar, Presiden SJA, Encik Jimmy Goh, Pengerusi KKJA dan Puan Jainisah binti Mohd Noor, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah.
Sebelum tirai majlis dilabuhkan, Dato’ Sri Mayor telah menyempurnakan simbolik penyampaian kuih-muih Hari Raya Aidilfitri kepada seramai 21 wakil agensi media yang hadir. Antaranya ialah Jabatan Penerangan Malaysia Sabah, Jabatan Penyiaran Negeri Sabah, BERNAMA, Daily Express, Overseas Chinese Daily News (OCDN), Utusan Borneo, The Borneo Post, Sin Chew Daily, Utusan Malaysia, Sinar Harian, New Straits Times, Berita Harian, TV3, The Vibes, Kosmo! Online, Sayang Sabah, Info X, The Malaysia Press, The Star, Asia Times dan See Hua Daily News.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK; Encik Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn. Bhd., barisan Pengurusan Tertinggi DBKK serta Ketua-ketua Jabatan, DBKK.
Semoga jalinan sinergi di antara DBKK dan rakan-rakan media kekal utuh, seiring usaha mentransformasikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandar raya pintar dan lestari!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez & Mohd. Asruddey Rusli#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



