Skip to main content

Berita: DATO’ SRI DR. HAJI SABIN BIN SAMITAH, MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU TURUT HADIR DALAM PROGRAM SAHUR DAN SOLAT SUBUH DI KAMPUNG PULAU GAYA

  • 29 MAC 2025: Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah menghadiri Program Sahur dan Solat Subuh bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah III merangkap Menteri Kerja Raya dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan, YB Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya serta YB Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif di Masjid Al-Aliff, Kampung Pulau Gaya.

    Program yang bermula seawal jam 3.00 pagi ini dimulakan dengan keberangkatan rombongan dari Jeti Kota Kinabalu ke Kampung Pulau Gaya.

    Setibanya di lokasi, majlis diteruskan dengan bacaan doa, ucapan alu-aluan oleh YB Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif serta ucapan amanat daripada YB Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya.

    Program ini turut diisi dengan jamuan sahur, solat subuh berjemaah, serta Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid Al-Aliff dan golongan asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti setempat.

    Kehadiran Dato’ Sri Mayor dalam program ini mencerminkan komitmen Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat serta menyokong usaha bersama ke arah pembangunan komuniti yang harmoni dan sejahtera.

    Majlis berakhir sekitar jam 6.00 pagi dengan suasana yang penuh kemesraan dan semangat muhibah.

    Laporan: Bella Berhaman

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPeranginanSemulajadi