Skip to main content

Berita: ORANG RAMAI DINASIHATKAN TERUS PATUH KEPADA UUK TEMPAT LETAK KERETA, ELAK DIKENAKAN KOMPAUN

  • 03 APRIL 2025: Warga Bandaraya Kota Kinabalu diingatkan untuk sentiasa mematuhi Undang-undang Kecil (UUK) Tempat Letak Kereta yang telah dikuatkuasakan dan tidak meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dikhaskan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu sehingga boleh menyebabkan gangguan kepada aliran lalu lintas.

    Pada 02 April 2025, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan pemeriksaan dan pematuhan UUK di pekarangan sebuah pusat membeli belah di pusat bandaraya dan mendapati ketidakpatuhan orang awam terhadap UUK Tempat Letak Kereta yang sedang berkuatkuasa.

    Pemeriksaan mendapati terdapat kenderaan yang telah diletakkan di kawasan yang hanya dikhaskan bagi menurunkan dan mengambil penumpang. Susulan itu, sebanyak 33 keping kompaun telah dikeluarkan di bawah kesalahan UUK Tempat Letak Kereta.

    DBKK memandang serius perkara ini dan akan terus komited dalam melaksanakan pemantauan di sekitar bandar raya dari masa ke masa, bagi memastikan tahap pematuhan orang awam terhadap UUK Tempat Letak Kereta sentiasa berada pada tahap tertinggi.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat untuk terus menghormati dan memelihara kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.

    Oleh itu, warga Bandaraya Kota Kinabalu dinasihatkan untuk sentiasa peka dan patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan selain mengelak daripada meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dikhaskan.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Penguatkuasaan, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK