Skip to main content

Berita: PROGRAM KESEDARAN INTEGRITI WARGA KERJA DBKK SIRI 1/2025 & SIRI 2/2025, TINGKAT KESEDARAN KEPENTINGAN INTEGRITI, KETELUSAN DAN AKAUNTABILITI

  • -

    09 JULAI 2025: Dalam usaha meningkatkan kesedaran kakitangan mengenai kepentingan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan tugas seharian, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya telah menganjurkan Program Kesedaran Integriti Warga Kerja DBKK Siri 1/2025 dan Siri 2/2025, pada 02 dan 03 Julai 2025.

    Pelaksanaan program ini sejajar dengan Nota Persefahaman (MoU) di antara DBKK dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan bagi meningkatkan kesedaran dan pembudayaan integriti dalam organisasi berdasarkan Pelan Anti Rasuah DBKK 2024-2026.

    Majlis Perasmian kursus telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK mewakili YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

    Seramai 771 kakitangan DBKK telah menghadiri program ini yang berlangsung selama dua (2) hari, bertempat di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu. Antara tajuk ceramah yang disampaikan dalam program ini ialah “Pengurusan Kewangan Berhemah Dalam Kalangan Penjawat Awam” yang disampaikan oleh Puan Gracy Nealda A. Dukim dan Encik Wellmexsion Maraya daripada Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK).

    Selain itu, turut disampaikan ceramah bertajuk “Pencegahan Penyalahgunaan Dadah Di Tempat Kerja” oleh Tuan Zunaidie bin M. Taib, Penolong Pegawai, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); serta “Isu Rasuah Dan Salah Guna Kuasa Dalam Sektor Awam” oleh Encik Jasni bin Gayung, Ketua Penolong Kanan Penguasa, SPRM dan Azlila binti Misman, Penolong Penguasa, SPRM.

    Selain dipenuhi dengan sesi ceramah bersifat informatif, program ini turut menyediakan ruang interaktif menerusi sesi soal jawab selepas setiap ceramah bagi memberi ruang pertanyaan soalan daripada para peserta, sekali gus mengukuhkan pemahaman.

    Objektif program ini adalah untuk mendedahkan peserta kepada risiko salah laku seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan dadah serta pengurusan kewangan tidak beretika; mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, bebas dari unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan ketirisan; mengukuhkan kerjasama strategik DBKK bersama agensi luar dalam membanteras gejala rasuah dan meningkatkan integriti institusi; serta menyokong pelaksanaan Pelan Anti Rasuah DBKK 2024-2026 secara menyeluruh melalui aktiviti pendidikan dan pencegahan.

    Semoga maklumat dan ilmu pengetahuan yang dipelajari sepanjang Program Kesedaran Integriti Warga Kerja DBKK Siri 1/2025 dan Siri 2/2025 dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta!

    Sumber Info: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK