Berita: SESI LIBAT URUS PELAKSANAAN SPSS DI KOMPLEKS SINSURAN
24 JULAI 2025: Sekitar 120 pengusaha premis dan penduduk telah menghadiri sesi libat urus berkenaan pelaksanaan Sistem Pelupusan Sampah Sendiri (SPSS) di Kompleks Sinsuran anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, pada 23 Julai 2025.
Sesi yang berlangsung bermula pukul 7 pagi hingga 11 pagi ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat serta menyampaikan maklum balas secara langsung berkaitan pelaksanaan SPSS di kompleks berkenaan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK dan disusuli dengan penyampaian taklimat pengenalan SPSS oleh Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal., DBKK.
Turut berlangsung sesi soal jawab dalam suasana yang interaktif dan membina, menunjukkan keprihatinan dan penglibatan aktif daripada para peserta. Susulan sesi ini, kesemua hadirin menyatakan persetujuan dan menyokong penuh pelaksanaan SPSS sebagai langkah ke arah meningkatkan tahap kebersihan di kawasan tersebut.
Selaras dengan pelaksanaan SPSS di Kompleks Sinsuran akan bermula secara rasmi pada 01 Ogos 2025, semua rumah sampah atau ‘bin centre’ di sekitar kawasan tersebut akan ditutup sepenuhnya pada malam 31 Julai 2025.
Sebagai ganti kepada sistem lama, kutipan sampah kini akan dilaksanakan secara berjadual melalui kaedah pelupusan terus ke lori kutipan di dua (2) lokasi utama, berdasarkan jadual berikut:
1. Lorong Sinsuran (berhampiran Klinik Lau & Choong)
Jam 10.00 pagi – 10.30 pagi
Jam 10.00 malam – 10.30 malam
2. Lorong Gomantong (berhampiran pencawang Sabah Electricty)
Jam 10.45 pagi – 11.15 pagi
Jam 10.45 malam – 11.15 malam
Setiap sesi kutipan akan berlangsung selama 30 minit, dua kali sehari.
Sehubungan itu, semua pengusaha dan penduduk dimohon untuk melupuskan sampah secara terus ke lori kutipan mengikut masa dan lokasi yang telah ditetapkan. Kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan kejayaan sistem ini serta menjamin kelestarian dan kebersihan persekitaran kita bersama.
Pihak DBKK juga akan melaksanakan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pematuhan SPSS. Mana-mana individu yang didapati membuang sampah merata-rata boleh dikenakan kompaun tidak kurang daripada RM20 dan tidak melebihi RM500 bagi setiap kesalahan, mengikut Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap 1984 (Pindaan 2005).
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan semasa, sila layari laman Facebook dan TikTok rasmi Kota Kinabalu Bersih & Hijau.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



