Skip to main content

Berita: DBKK TERIMA LAWATAN KERJA PLANMALAYSIA MELAKA & MAJLIS PERBANDARAN HANG TUAH JAYA

  • 11 OGOS 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima lawatan kerja daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia Melaka) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), bertempat di Dewan Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan DBKK, pada 05 Ogos 2025.

    Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Puan Noraida binti Abdul Rani, Pengarah Pejabat Projek Zon Selatan, PLANMalaysia bersama Encik Mohd. Zaidi bin Mohd. Said, Pegawai Perancang, MPHTJ telah disambut mesra oleh Puan Hajah Salmah binti Aplasin, Pengarah Jabatan Landskap, DBKK.

    Seramai 30 kakitangan daripada PLANMalaysia Melaka dan MPHTJ telah menyertai lawatan ini yang menjadi platform perkongsian dan perbincangan amalan terbaik berkaitan pengurusan perbandaran yang moden dan mampan.

    Hadir sama ialah Encik Saiman bin Angak, Pengarah Jabatan Kejuruteraan, DBKK; Puan Tantinny Fung, Pengarah Jabatan Perancangan Bandaraya, DBKK; Puan Hana’aifah binti A.S Suhaili, Pengarah Jabatan Pengangkutan dan Trafik; Puan Darna binti Badawi, Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK; Encik Mohd. Haniff bin Abdullah, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, DBKK dan Puan Jainab Saidi, Pengarah Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK.

    Antara pengisian lawatan ini sesi taklimat bertajuk “Kebun Komuniti Bandaraya Kota Kinabalu” yang disampaikan oleh Puan Hajah Salmah binti Aplasin. Selepas itu, majlis diteruskan dengan sesi interaktif dan soal jawab di mana hadirin berpeluang untuk mengemukakan soalan dan berkongsi pandangan masing-masing.

    DBKK merakamkan penghargaan kepada PLANMalaysia Melaka dan MPHTJ atas kesudian mengadakan lawatan kerja ini. Semoga lawatan ini memperkukuh hubungan kerjasama di antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mentransformasikan kualiti perkhidmatan ke tahap yang lebih tinggi.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK