Berita: MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU BERSAMA KETUA MENTERI SABAH TINJAU LOKASI RUNTUHAN CERUN
15 September 2025 – YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, hari ini telah melawat ke kawasan runtuhan cerun berhampiran Bulatan Perkasa, Jalan Tun Fuad Stephens, sekitar jam 4.00 petang tadi.
Dalam lawatan tersebut, YAB Ketua Menteri telah diberi taklimat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai keadaan semasa runtuhan serta langkah-langkah mitigasi yang sedang dilaksanakan bagi menjamin keselamatan awam.
Turut hadir mengiringi lawatan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, serta Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah, JP. Kehadiran Dato’ Sri Mayor dalam lawatan ini menggambarkan komitmen pihak berkuasa tempatan untuk sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan warga bandar raya.
Selepas tinjauan di Bulatan Perkasa, Dato’ Sri Mayor meneruskan lawatan ke kawasan runtuhan di Kg. Cenderakasih, Likas. DBKK akan terus bekerjasama rapat dengan agensi teknikal, pihak keselamatan serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan segera diambil, khususnya melibatkan lokasi yang berisiko tinggi dan berhampiran kawasan penempatan penduduk.
Dato’ Sri Mayor menegaskan bahawa DBKK sentiasa peka terhadap isu keselamatan awam, terutamanya dalam menghadapi cabaran cuaca tidak menentu kebelakangan ini. Beliau juga menekankan kepentingan pemantauan berterusan, tindakan pantas dan kerjasama bersepadu antara kerajaan negeri, PBT serta agensi teknikal dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bella Berhaman
Pegawai Penerangan



