Skip to main content

Berita: KERJASAMA MEMBAWA KEJAYAAAN! HARI CUCI MALAYSIA 2025 PERINGKAT BANDARAYA KOTA KINABALU CATAT KUTIPAN LEBIH 45 TAN SAMPAH

  • -

    27 SEPTEMBER 2025: Lebih 45 tan sampah telah berjaya dikutip dan dilupuskan di seluruh pusat bandar termasuk perairan laut dan kepulauan menerusi penganjuran Hari Cuci Malaysia 2025 Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu, pada 27 September 2025.

    Program anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang diadakan bersempena dengan World Cleanup Day dan World Environmental Health Day ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

    Dalam ucapannya, Dato' Sri Mayor berkata, program ini bukan sekadar gotong-royong membersihkan sampah tetapi sebuah gerakan perubahan sosial untuk membudayakan kebersihan dalam kehidupan seharian.

    Tambah beliau, ia merupakan simbol kesepakatan masyarakat, daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, institusi pendidikan sehinggalah komuniti setempat dalam mengukuhkan tanggungjawab bersama menjaga alam sekitar dan mengurangkan risiko pencemaran.

    Turut hadir ialah Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK selaku Pengerusi Pelaksana Hari Cuci Malaysia 2025 Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu; Encik Karim bin Haji Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK; Ts. Abdull Sulaiman bin Ismil, Ketua Unit CSR, Politeknik Kota Kinabalu; Encik Mohd Reduan bin Aklee, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.22 Tanjung Aru dan Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK.

    Program pada kali ini melibatkan penyertaan lebih 1,400 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan skop liputan pembersihan menyeluruh yang melibatkan pusat bandar, kawasan perumahan, pasar besar, perairan laut, kawasan kepulauan termasuk Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.

    Manakala, sebanyak 32 unit jentera telah digerakkan iaitu lori terbuka, kompaktor, lori jet air, bot skimer dan bot pengangkutan sampah.

    Selain itu, usaha pembersihan di laut dan kawasan kepulauan telah berjaya mengumpul sebanyak 89,964 botol plastik. Kesemua botol plastik ini akan dihantar kepada rakan strategik DBKK, Prestige Recycle Technics Sdn. Bhd. untuk diproses dan dikitar semula.

    Selain kerja-kerja pembersihan fizikal, program ini turut menampilkan pengisian lain bersempena dengan World Environmental Health Day, iaitu Kempen Larangan Memberi Makanan Kepada Burung Merpati yang telah digerakkan sejak April 2025 di bawah inisiatif Bandaraya Sihat, Komuniti Sejahtera.

    Antara aktiviti kesihatan persekitaran yang telah dilaksanakan adalah membersihkan kotoran najis burung di Lintasan Deasoka, Sinsuran dan bangunan DBKK, operasi menangkap burung merpati menggunakan jala serta menjalankan Ops Cantas pokok bagi membuang sarang-sarang burung gagak dan merpati.

    Selain itu, risalah Kempen Larangan Memberi Makanan Kepada Burung Merpati turut diedarkan kepada pengusaha premis perniagaan dan orang awam di sekitar Jalan Gaya serta Jalan Pantai bagi memberikan pendidikan kesihatan berhubung pencegahan penyakit bawaan burung merpati.

    Dalam majlis ini juga, Dato' Sri Mayor turut menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang Cabaran 'Kampungku Bersih' Edisi Kepulauan. Berikut adalah senarai penuh pemenang:

    Johan : Kampung Torong Logong, Pulau Gaya
    Naib Johan : Kampung Pulau Sepanggar, Pulau Sepanggar
    Tempat Ketiga : Kampung Lobong, Pulau Gaya

    Johan, Naib Johan dan Ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000, RM12,000 dan RM8,000 berserta trofi dan sijil. Sementara itu, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya Asli, Kampung Pondo dan Kampung Kasuapan masing-masing menerima penghargaan penyertaan.

    Turut menjadi tumpuan ramai adalah pembukaan reruai pendaftaran iBersih dan Kitar Semula Minyak Masak Terpakai yang telah berjaya mengumpul minyak masak terpakai seberat 1,1875.5kg.

    Terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang tenaga bagi memastikan penganjuran Hari Cuci Malaysia 2025 Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu berjalan lancar.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez & Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK

    #HariCuciMalaysia2025
    #WorldCleanupDay
    #WorldEnvironmentalHealthDay
    #MalaysiaMADANI
    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari
    #KKBersihDanHijau

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK