Berita: MAJLIS PEMAKAIAN KETANDAAN PANGKAT PENGURUSAN TERTINGGI DAN PERHIMPUNAN JABATAN PENGUATKUASAAN DBKK SIRI 2/2025
30 SEPTEMBER 2025: Majlis Pemakaian Ketandaan Pangkat Pengurusan Tertinggi dan Perhimpunan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Siri 2/2025 telah berlangsung di KK Sentral, pada 26 September 2025.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada semua anggota untuk terus menunaikan amanah dengan penuh komitmen, menjunjung disiplin, menjaga imej, melaksanakan tugas dengan integriti serta memastikan tugasan lapangan sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap tindakan bukan sahaja mencerminkan imej DBKK, tetapi juga menjadi penentu kepada keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan DBKK.
Dalam majlis yang sama, Dato' Sri Mayor telah menyempurnakan pemakaian ketandaan pangkat kepada Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK dan Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan), DBKK.
Turut hadir ialah Encik Karim bin Haji Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK; Encik Haniff bin Haji Abdullah, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, DBKK dan Encik Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn. Bhd.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk menzahirkan penghargaan kepada pegawai yang menerima kenaikan pangkat, selain menjadi wadah penting bagi memperbaharui iltizam, menyemai kesedaran serta mengukuhkan semangat kebersamaan seluruh penguat kuasa dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.
Sumber Info: Jabatan Penguatkuasaan, DBKK
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



