Berita: OPS BERSIH DI JETI DBKK, JALAN TUN FUAD STEPHENS
10 OKTOBER 2025: Sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran awam berkaitan penjagaan kebersihan persekitaran, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal telah melaksanakan beberapa siri Ops Bersih di Jeti DBKK, Jalan Tun Fuad Stephens, pada 04 dan 09 Oktober 2025.
Operasi ini melibatkan seramai lapan anggota daripada Unit Kawalan Selia, JPSP dan bertujuan untuk mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan awam dan memastikan imej Bandaraya Kota Kinabalu sentiasa terjaga.
Hasil operasi ini, sebanyak 13 keping kompaun telah dikeluarkan kepada orang awam yang didapati membuang sampah merata-rata tempat, di bawah UUK Anti Sampah Sarap 1984 (Pindaan 2005). Di bawah UUK ini, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak kurang RM20 dan tidak melebihi RM500 bagi setiap kesalahan.
DBKK akan meneruskan pelaksanaan Ops Bersih secara berjadual di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan awam bagi memastikan tahap kebersihan Bandaraya Kota Kinabalu sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



