Berita: MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN DAN PEMBENTANGAN KERTAS KAJIAN PENYELIDIKAN PROGRAM EKSPEDISI SAINTIFIK LEMBANGAN SUNGAI DARAU
16 OKTOBER 2025: Majlis Perasmian Penutupan dan Pembentangan Kertas Kajian Penyelidikan Program Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau bagi Program Universiti Malaysia Sabah (UMS) - Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK): Sustainable Tourism Living Lab: Innovation and Engagement telah berlangsung dengan jayanya di Hilton Kota Kinabalu pada 14 Oktober 2025.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK yang hadir mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam teks ucapan Dato’ Sri Mayor, beliau menegaskan bahawa pendekatan ‘living lab’ ini menjadikan kawasan Lembangan Sungai Darau sebagai ruang eksperimen lapangan bagi pelaksanaan penyelidikan dan inovasi sebenar di mana teori dan dasar diuji terus di lapangan bagi menghasilkan panduan yang lebih berkesan untuk pembangunan masa hadapan.
Tambahnya, Lembangan Sungai Darau merupakan kawasan yang sangat signifikan, bukan sahaja kerana kepelbagaian biodiversitinya, tetapi juga potensinya sebagai tapak pembangunan ekopelancongan berasaskan komuniti yang mampan. Ekspedisi ini telah merangkumi kajian komprehensif melibatkan pelbagai disiplin sains dan sosial, yang memberi gambaran menyeluruh tentang keunikan ekosistem Darau serta hubung kaitnya dengan kehidupan dan ekonomi masyarakat setempat.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS mewakili Naib Canselor UMS; Encik Karim bin Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) selaku Pengerusi Jawatankuasa Program; Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan) DBKK; Encik Helmi Shahril bin Ag. Kassim, Ahli Lembaga Penasihat DBKK; dan Puan Darna binti Badawi, Pengarah Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat DBKK.
Majlis turut menampilkan tayangan montaj yang memaparkan sorotan sepanjang pelaksanaan Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau, sebelum diteruskan dengan Sesi Pembentangan Laporan Penyelidikan Ekspedisi tersebut oleh Dr. Mohamad Syahrul Nizam Ibrahim, Pensyarah Kanan Sosiologi Sekitaran dan Pelancongan Alam Semulajadi, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, UMS.
Hasil penyelidikan yang diperoleh melalui ekspedisi ini amat signifikan dalam memperkukuh dasar dan strategi pembangunan pelancongan berteraskan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan komuniti.
YBhg. Datuk Sr. Lifred turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada kumpulan penyelidik yang telah menjayakan Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau, sebelum melawat ke Pameran Pelancongan Lestari yang menampilkan reruai daripada UMS, Citra Kasih dan Komuniti Sejahtera.
Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau merupakan program pertama yang dilaksanakan selepas termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBKK dan UMS pada 04 Ogos 2025.
Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada jalinan sinergi yang lebih erat antara DBKK dan UMS, seiring dengan aspirasi memperkukuh pembangunan mampan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



