Berita: DBKK, APN ANJUR KURSUS SIASATAN DAN TATACARA PENYEDIAAN KERTAS SIASATAN BERKUALITI
17 OKTOBER 2025: Kursus Siasatan dan Tatacara Penyediaan Kertas Siasatan Berkualiti anjuran bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Akademi Perundangan Negara (APN) telah berlangsung di The Klagan Hotel, Kota Kinabalu, pada 13 hingga 16 Oktober 2025.
Penganjuran kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran penyiasatan dengan melengkapkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menjalankan siasatan yang sistematik dan berkualiti, selain membimbing peserta dalam menyediakan kertas siasatan yang lengkap, terperinci dan memenuhi piawaian undang-undang.
Selain itu, peserta turut diberikan pendedahan mengenai tatacara penyediaan dokumen sokongan pendakwaan dan rujukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) serta membolehkan peserta memahami peruntukan akta berkaitan seperti Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan Akta Keterangan 1950 untuk diaplikasi dalam tugas penyiasatan.
Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Sementara itu, majlis penutupan dan penyampaian sijil penyertaan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK.
Kursus ini telah dikendalikan oleh dua penceramah utama, iaitu Puan Nurulhuda binti Ramli, Penolong Ketua Pengarah Program Litigasi, APN, dan Puan Noor Khairun Nisa binti Noor Harun, Penolong Pengarah Program Penasihat, APN. Hadir sama, Encik Kenny Leo Chia Wen Kok, Pegawai Undang-Undang, DBKK selaku fasilitator kursus.
Kursus ini merangkumi sesi gerak kerja kumpulan yang melibatkan penyediaan Kertas Siasatan, Diari Siasatan, Ekshibit-ekshibit dan Rantaian Keterangan sehingga ke penyediaan Pertuduhan. Turut diadakan satu sesi simulasi di mana setiap kumpulan merujuk kertas siasatan kepada TPR untuk mendapatkan arahan tuduh sebagai pendedahan praktikal kepada peserta.
Objektif kursus ini adalah untuk menyokong pembangunan kemahiran penyiasatan yang berkualiti dan terperinci, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kecekapan pelaksanaan tugas di organisasi masing-masing.
Kursus telah disertai oleh seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai-pegawai Penyiasat, DBKK; DBKK Holdings Sdn. Bhd.; Jabatan Tanah dan Ukur; Majlis Perbandaran Sandakan; Majlis Perbandaran Tawau dan Majlis Daerah Beaufort.
Sumber Info: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
Foto: Renaldo Fernandez dan Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



