Berita: DBKK TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA CPS MANAGEMENT CORPORATION
22 OKTOBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima kunjungan hormat daripada CPS Management Corporation bersempena dengan penganjuran Centre Point Sabah Blood Donation Campaign, pada 09 Oktober 2025.
Kunjungan hormat ini telah dipengerusikan oleh Puan Faradillah binti Hj. Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK. Turut hadir ialah wakil-wakil daripada CPS Management Corporation iaitu Encik Chow, Encik Oliver, Puan Meredith, Puan DeeDee dan Puan Welina; wakil Lions Club of KK Waterfront, Encik Richard Chua dan Encik Bob Yong; serta wakil Kota Kinabalu Mandarin Club, Encik Canisius.
Tujuan utama kunjungan hormat ini adalah untuk menguar-uarkan berkaitan program anjuran CPS Management Corporation, iaitu Centre Point Sabah Blood Donation Campaign yang akan berlangsung di Aras Bawah, Centre Point Sabah, bermula dari jam 8.30 pagi hingga 9.00 malam, pada 15 November 2025 (Sabtu). Kempen ini menyasarkan kutipan sebanyak 1,200 pain darah dalam tempoh sehari, menjadikannya antara kempen derma darah terbesar di negeri ini.
Selain menggalakkan penyertaan masyarakat, khususnya golongan belia, kempen ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menderma darah serta manfaat pemeriksaan kesihatan asas kepada para penderma, seterusnya membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi bagi mereka yang memerlukan.
Terima kasih CPS Management Corporation atas kesudian mengadakan kunjungan hormat kepada DBKK. Semoga jalinan kerjasama ini akan berterusan di masa akan datang.
Orang ramai dialu-alukan untuk hadir dan memberikan sokongan terhadap program ini!
Sumber Info dan Foto: Pejabat Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



