Skip to main content

Berita: BENGKEL CAKNA PENGURUSAN DAN PEMANTAPAN REKOD BAGI AHLI JAWATANKUASA TADBIR URUS REKOD DBKK

  • -

    24 OKTOBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya telah menganjurkan Bengkel Cakna Pengurusan dan Pemantapan Rekod Bagi Ahli Jawatankuasa Tadbir Urus Rekod DBKK, di Dewan Orkid Borneo, Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya Kota Kinabalu, Kingfisher pada 08 dan 09 Oktober 2025.

    Seramai 66 orang Ahli Jawatankuasa Tadbir Urus Rekod DBKK telah menghadiri bengkel ini yang diadakan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan serta piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629), Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 5 Tahun 2007 (Panduan Pengurusan Pejabat) dan Dasar Pengurusan Rekod Kerajaan.

    Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK. Manakala, Majlis penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Encik Abdul Mukti bin Hj. Muchlish, Pengetua Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK.

    Matlamat utama penganjuran bengkel ini adalah untuk melahirkan warga kerja DBKK yang mahir dalam tatacara pengurusan fail dan rekod yang baik berpandukan kepada prosedur yang telah ditetapkan, selain meningkatkan kemahiran pengurusan fail dan mengemas kini fail di jabatan masing-masing.

    Bengkel ini telah dikendalikan oleh dua (2) orang penceramah jemputan, iaitu Puan Sabarinah binti Hj. Matnin, Ketua Bahagian Pusat Rekod, Jabatan Arkib Negeri Sabah dan Puan Dayangku Horiah binti Awang Gani, Ketua Bahagian Pengurusan Arkib, Pustaka Negeri Sarawak.

    Penganjuran bengkel ini diharap dapat memperkasa pengetahuan, pemahaman dan kemahiran anggota untuk membawa DBKK ke peringkat yang lebih jauh.

    Sumber Info dan Foto: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK

    Suntingan: Bahagian Media dan Komunikasi, JPPA

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK